Asim Abdullah Ainullotfi

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Nasional membuat lima ketetapan sebagai persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan sebaik tamat darurat kesihatan Ogos ini.

Setiausahanya, Asim Abdullah Ainullotfi berkata, antara ketetapan itu ialah dengan membuat rombakan pada struktur Pemuda Amanah Nasional.

Kata beliau, sayap parti itu juga menyokong pendirian Majlis Presiden PH mengenai konsep “PH sebagai Khemah Besar”.

“Ini selaras dengan resolusi Konvensyen Nasional 2020 Parti Amanah Negara (Amanah) tahun lepas dalam rangka menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan barisan pembangkang perlu duduk bersama dalam satu “Grand Coalition”.

“Pemuda Amanah juga menyokong segala usaha memperkukuhkan PH terutama di peringkat Pemuda.

“Dalam masa terdekat pula, Pemuda Amanah akan bersama Pemuda DAP (DAPSY) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) membincangkan gerak kerja dan hala tuju bersama,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Menurut Asim Abdullah, sayap parti itu mahu segera sediakan tawaran yang realistik dan menyentuh secara langsung isu membelenggu anak muda terutama Undi 18, peluang pekerjaan, gaji minimum, pendidikan, kebebasan bersuara dan kebebasan berkreativiti.

Kata beliau, pihaknya bersama Pemuda PH akan berjumpa dengan semua pemegang taruh anak muda, baik daripada individu berpengaruh, kumpulan NGO mahu pun rentas parti dalam usaha mengembleng tenaga agar isu anak muda dapat diketengahkan dan didengari oleh kerajaan. – MalaysiaGazette