Serina dan Meor Mohamad Aidid.

KUALA LUMPUR – Suami Serina yang berjawatan pegawai polis, Meor Mohamad Aidid mengakui sedia maklum dengan siasatan dilakukan terhadapnya berhubung isu tidak memohon untuk berkahwin kali kedua.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, Polis Perak menyerahkan siasatan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perlis berikutan Aidid sudah bertukar ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perlis.

Malah JIPS Perlis ketika ini juga sedang menjalankan siasatan berhubung perkara berbangkit.

“Saya sedia bekerjasama dengan pihak berwajib. Saya dapat tahu bekas isteri (Nur Hamizah Shaffee) ada membuat laporan polis konon dia dimadukan tanpa kebenarannya.

“Saya sedia bertanggungjawab,” kata Aidid memetik laporan BH Online.

Kontroversi perkahwinan kedua Serina Redzuawan dengan Aidid juga terus hangat dan diperkatakan hingga kini.

Selepas berdepan episod tak terduga membabitkan pendedahan bapanya sendiri, Chef Wan, Nur Hamizah pula mendakwa perkahwinan Aidid dengan Serina berlangsung tanpa pengetahuannya sebagai isteri pertama.

Malah Nur Hamizah juga menyangkal dakwaan Serina yang Aidid sudah berstatus duda ketika mereka berkahwin.

Serina sebelum ini dituduh berkahwin di sempadan Thailand, membelakangkan bapa, hidup bermadu dan pelbagai lagi.

“Hubungan saya dan dia (Nur Hamizah sudah bertahun lama bermasalah dan hambar. Hati saya sudah lama tertutup untuknya. Saya bernikah dengan Serina bulan Februari lalu. Serina juga bukan punca kami berantakan.

“Benar ketika berkahwin kali kedua (dengan Serina), dia masih isteri saya. Itu fakta yang saya tak boleh nafikan. Lagipun pada masa sama proses tuntutan cerai olehnya di mahkamah memakan masa. Kami hanya bercerai secara sah pada 9 Mac lalu.

“Kini hanya Serina isteri saya. Tak timbul lagi kisah atau perihal bermadu itu,” katanya.

Aidid bagaimanapun kecewa dan ralat dengan dakwaan Nur Hamizah yang hubungan mereka tidak bermasalah.

“Kami menjalinkan hubungan rumah tangga secara jarak jauh atas tuntutan kerja. Namun itu bukan alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab. Selain rumah tangga bermasalah, perkahwinan saya dan dia juga ada campur tangan keluarganya.

“Hati suami mana yang boleh tahan sabar apabila isteri tidak menghormatinya. Balik jenguk saya pun susah. Berbulan bulan saya terbiar tanpa dipedulikan perasaan dan kebajikan diri.

“Makan pakai saya pun tak terjaga. Ibu bapa dan kawan saya jadi saksi hidup ini macam orang bujang,” kata Aidid.

Aidid turut memperbetulkan kenyataan bukan dia yang menceraikan Nur Hamizah

“Dia sendiri yang tuntut cerai. Saya ada bukti surat mengenai tuntutan berkenaan. Dia tuntut cerai atas alasan tiada lagi persefahaman antara kami,” katanya.

Aidid juga berharap Nur Hamizah tidak menjadikan kehadiran Serina sebagai alasan mereka tidak bahagia dan seterusnya berpisah

“Saya kenal Serina sekitar setahun lalu. Sedangkan masalah antara saya dan dia sudah berlanjutan sekian lama. Saya sudah lama makan hati dan memendamnya.

“Saya berhak untuk bahagia dan ada masa depan yang lebih baik. Saya bersyukur kerana sudah keluar dari hidupnya dan bekas keluarga mentua,” katanya.

Malah Aidid turut mendakwa dia sering dipergunakan oleh bekas mentua dan bekas isteri untuk kepentingan perniagaan kolej mereka

“Tak perlulah saya sebut dipergunakan dalam bentuk apa. Allah maha mengetahui segalanya.

“Jadi berhentilah berpura pura jadi mangsa. Tak perlulah sampai tahap nak buka cerita lama dan mencari perhatian media. Hentikan segala tohmahan dan hormati kerjaya saya sebagai polis,” katanya

Aidid kini hanya mahu hidup bahagia bersama Serina dan dua anak tirinya.

“Saya ikhlas menyayangi Serina dan anaknya. Dia bukan perosak rumah tangga saya yang dulu. Malah dia yang memberi semangat supaya saya tidak menyimpan dendam dengan kisah lalu.

“Dia juga wanita matang, bijak urus kehidupan, berdikari, berani, dedikasi dalam perniagaaan dan tugas yang diamanahkan.

“Saya juga menghormati segala komen bapa mentua (Chef Wan). Insya-Allah saya dan isteri akan memperbaiki kekurangan diri. Saya berjanji akan menjaga Serina, anak dan rumah tangga kami dengan baik.

“Saya berharap pihak netizen yang membaca jangan mudah menghukum kami dan menokok tambah cerita, besar dosanya bila jatuh fitnah. Doakan yg baik baik buat kami,” katanya.

Jumaat lalu, Serina mengesahkan dirinya bergelar isteri buat kali kedua menerusi entri dalam laman Instagram (IG).

Bagaimanapun, Serina tidak berkongsi perincian mengenai majlis pernikahan yang dipercayai berlangsung di sebuah negeri di utara tanah air.

Sebelum ini, Serina pernah mendirikan rumah tangga dengan Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010. Bagaimanapun, mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saffiya, 10. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.