Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda

KUANTAN – Warga Kuantan diingatkan untuk tidak berbuka puasa di Padang MBK 1 seperti tradisi setiap tahun bagi mengelakkan pengunjung bersesak pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Pahang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda, keputusan itu bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 daripada tercetusnya Kluster Padang.

Beliau yang juga ADUN Lepar berkata, lokasi awam lain yang mana ada ruang orang ramai berkumpul juga tidak dibenarkan untuk berbuka puasa.

“Kerajaan negeri meminta masyarakat Islam di Kuantan yang berhasrat berbuka di Padang MBK 1 akur dengan arahan yang ditetapkan.

“Kompaun akan dikeluarkan jika ingkar dan pemantauan akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

“Tiada bazar Ramadan dibenarkan di lokasi berhampiran Padang MBK 1 bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di situ.” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette.

Saban tahun, lokasi Padang MBK 1 yang terletak bersebelahan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan ‘Bazar Ramadan Pokok Buluh’ menjadi tradisi ribuan masyarakat Kuantan untuk berbuka di atas padang.

Dalam pada itu, seramai 1,836 orang dibenarkan berniaga melibatkan 58 lokasi bazar Ramadan di seluruh Pahang tahun ini.

“Daripada jumlah tersebut, MBK merekodkan jumlah peniaga paling ramai iaitu 885 orang membabitkan 25 lokasi di Kuantan.

“Para peniaga diwajibkan menutup makanan sepanjang masa dan dilarang menggunakan bekas bungkusan makanan daripada ‘styrofoam’.” kata Abd Rahim.

Bagaimanapun peniaga dibenarkan menggunakan kertas pembungkus khas atau pembungkus plastik high-density polyethylene (HDPE).

Abd Rahim mengingatkan semua pengguna dan peniaga mematuhi prosedur operasi standard ( SOP) iaitu pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter dan menjalani pemeriksaan suhu. – MalaysiaGazette