Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya tujuh lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabah dan Pahang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti di Sabah melibatkan kawasan Flat Sim-Sim, Kampung Sungai Obar di Sandakan, Taman Villa Mas di Tawau dan Kampung Melangkap Tomis di Kota Belud.

Di Pahang pula katanya, melibatkan empat kampung iaitu Kampung Paya Pulai Tengah, Kampung Pulau Terap, Paya Pulai-Kampung Batu 4 dan Paya Pulai-Kampung Batu 5, Jalan Maran.

Kata beliau, bagi tiga kawasan di Sabah, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes positif dengan kebolehjangkitan yang tinggi.

“KKM telah melakukan 38 ujian saringan di kawasan perumahan Sim-Sim dan sebanyak 17 kes positif Covid-19 direkodkan. Di Kampung Sungai Obar pula sebanyak 46 ujian saringan juga dilakukan dengan 10 kes positif direkodkan.

“Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga lokaliti ini selama dua minggu mulai esok hingga 27 April ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai PKPD di Pahang pula, kata Ismail Sabri, secara kumulatif sebanyak 16 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 234 ujian saringan yang telah dilaksanakan.

KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Kerajaan melaksanakan PKPD di empat perkampungan ini juga dari 14 April hingga 27 April.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan penamatan PKPD di Kilang YTY dan Asrama Pekerja, Lekir, Setiawan di Perak serta Kampung Rimbayan di Keningau, Sabah yang dijadualkan tamat pada 15 April ini.

Namun, PKPD di Kampung Ranggu Batu 10, Fasa 2 Taman Semarak, Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Simpang 3A di Sabah dilanjutkan lagi mulai 15 dan 16 April ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast