Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Komisioner Datuk Zainuddin Yaacob. Foto SYAFIQ AMBAK.

KUALA LUMPUR – Suami bekas Gabenor Bank Negara, Datuk Dr. Tawfiq Ayman telah diambil keterangan oleh polis berhubung penerimaan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun banknya.

Polis Bukit Aman selaku pihak bertanggungjawab yang sedang menyiasat kes berkenaan telah merakam keterangan suami Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Zeti Ahktar kini Pengerusi Permodalan Nasional Berhad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Zainuddin Yaacob hari ini telah mengesahkan perkara itu.

Turut diambil keterangan adalah salah seorang anak pasangan tersebut untuk membantu siasatan polis.

“Ekoran daripada laporan beberapa media elektronik hari ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman mengesahkan bahawa Datuk Dr Tawfiq Ayman dan seorang anak beliau telah hadir memberi percakapan kepada polis pada hari ini 15 April 2021.

“Rakaman percakapan telah diambil di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Zainuddin, kes sedang dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Memandangkan siasatan polis dalam kes ini masih berterusan, pihak polis menasihati masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi melalui mana-mana platform sehingga siasatan polis selesai dijalankan.

“Seterusnya kes akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan lanjut,” tegasnya.

Pada Mac lalu, Zainuddin menegaskan, pihaknya masih menjalankan siasatan ke atas Tawfiq dan perlu mendapatkan keterangannya di luar negara iaitu Singapura.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.