Datuk Zainuddin Yaacob. foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis masih melakukan siasatan ke atas Datuk Dr. Tawfiq Ayman berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun bank miliknya di Singapura.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan itu dilakukan dibawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Memandangkan siasatan kes ini melibatkan keterangan di Malaysia dan di luar negara, PDRM sedang mengambil tindakan susulan di bawah Akta bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah (Mutual Assistance in Criminal Matters Act) 2002 bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tawfiq merupakan suami kepada Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia.

Menurut Zainuddin, kes itu kemudian akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan satu keputusan.

Sementara itu itu, Zainuddin menasihatkan masyarakat tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi melalui mana-mana platform sehingga siasatan polis selesai. – MalaysiaGazette