Bekas atlet Paralimpik Negara, Faridul Masri yang pernah satu ketika dahulu pernah mengharumkan nama Malaysia dengan kejayaan merangkul pelbagai pingat dalam acara merejam lembing ketika ditemui di Pangsapuri Casa Riana, Taman Puncak Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Resmi kehidupan, nama kita harum pada saat prestasi memuncak namun ia akan luput daripada ingatan masyarakat umum satu hari nanti.

Begitulah juga kitaran kehidupan yang melanda bekas atlet negara.

Mereka sedar sejurus tidak aktif lagi, maka kembalilah ke dalam ruang lingkup kehidupan yang normal di mana hidup tanpa sekelumit sanjungan lagi.

Bagi bekas atlet Paralimpik Malaysia, Faridul Masri, 40, dia sama sekali tidak pernah menyalahkan takdir hidup menimpanya yang kini tinggal seorang diri selepas bercerai awal tahun lalu.

Bekas atlet Paralimpik Negara, Faridul Masri megimbau kembali kenangan zaman kegemilangannya dengan melihat kesemua pingat yang berjaya di capai dalam acara merejam lembing ketika di Pangsapuri Casa Riana, Taman Puncak Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2021.

Lumpuh pada usia 15 tahun gara-gara kemalangan jalan raya, namun siapa sangka pada usia 20 tahun ketika mula terbabit dalam sukan sekadar hobi telah berjaya mewakili Malaysia sehingga ke sukan Sukan Para Olimpik di London pada 2012.

Biarpun bermula agak lewat, anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor ini mengharumkan nama negara apabila memenangi berpuluh pingat termasuk pingat emas di Sukan Para ASEAN dan Sukan Para Asia.

Zaman kegemilangan penuh dengan kejayaan apabila dia merangkul belasan pingat emas dalam acara merejam lembing di Sukan Para ASEAN di Vietnam pada 2003, Filipina pada 2005, Thailand pada 2007, Kuala Lumpur pada 2009 dan Indonesioa pada 2011.

Faridul juga menuai dua pingat emas di Sukan Para KL pada 2017 menerusi acara merejam lembing dan melontar peluru selain dua gangsa di Sukan Para Asia di Busan pada tahun 2002 dan dua emas di Sukan Para Asia di Kuala Lumpur pada 2006.

Atlet Para ASEAN negara, Faridul Masri menunjukkan pingatnya selepas merangkul emas acara lontar peluru T56 lelaki akhir pada Sukan Para Asean KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 SEPTEMBER 2017

Namun kemenangannya itu diselangi pula secara tiba-tiba dengan keputusan yang tidak disangka.

Setahun selepas mendapat dua pingat Sukan Para ASEAN 2017, dia dibuang Majlis Sukan Negara (MSN) daripada senarai atlet olahraga kebangsaan Paralimpik yang ketika itu sedang menikmati elaun insentif kejayaan RM2,000 sebulan.

Atas alasan sudah berumur, Faridul akur walaupun jauh di sudut hatinya berasa terkilan. Apatah lagi sejak itu beliau tidak memiliki pendapatan tetap selepas tidak lagi layak mendapat elaun MSN.

Bekas atlet Paralimpik Negara, Faridul Masri keluar dari rumahnya untuk melakukan urusan diluar ketika di Pangsapuri Casa Riana, Taman Puncak Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2021.

“Bagi saya sebagai bekas atlet memang sedih kerana sudah berkecimpung 20 tahun dalam dunia sukan dan ia sudah sebati. Dalam keadaan tidak sihat sangat dan tidak kuat saya sudah sudah dididik semangat tinggi khusus dalam sukan.

“Sukan macam rutin harian dan bila kena keluar (MSN) rasa kosong dan jiwa tidak tahu hendak buat buat, matlamat pun tak macam dulu, dulu ada matlamat sekarang kosong.

“Dari sudut rasa, agak terkilan juga, mana-mana pihak atasan yang buat keputusan walaupun atlet Paralimpik sudah berumur dan ramai lagi berusia, kita orang ada semangat dan masih boleh buktikan dapat pingat.

“Tapi dengan alasan kita orang tidak dibenarkan masuk dan kena keluar MSN, rasa agak terkilan. Masa ada tenaga, muda kami diperlukan. Bila sudah tidak diperlukan bagi saya macam disia-siakan, ini juga suarakan isi hati rakan-rakan senasib yang lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di Taman Puncak Jalil di sini semalam.

Bekas atlet Paralimpik Negara, Faridul Masri sibuk melakukan kerja-kerja rumah pada masa terluang ketika di Pangsapuri Casa Riana, Taman Puncak Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2021.

Namun yang membuat dia lebih terkilan dan sedih kata Faridul, ketika dia dimasukkan ke hospital dan perlu menjalani pembedahan pada September tahun lalu.

Ujarnya sayu, tiada wakil daripada MSN bertanya khabar dan jauh sekali untuk menghulurkan bantuan.

 

 

Malah dia terpaksa membayar sendiri bil hospital hampir RM7,000 selepas mendapat diskaun daripada pihak hospital atas faktor OKU,  yang mana bil asal sebanyak RM12,000.

“Apa yang paling terkilan ketika masuk hospital tahun lalu dan perlu pembedahan, paling sedih tidak ada sesiapa datang melawat dan membantu.

“Saya kena bayar sendiri dan bernasib baik apabila pihak hospital memberi diskaun bayaran bil separuh untuk pesakit OKU. Itulah yang saya paling terkilan dengan dunia sukan,” katanya berterus-terang.

Temubual bersama bekas atlet Paralimpik Negara, Faridul Masri, di Pangsapuri Casa Riana, Taman Puncak Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2021.

Faridul mengakui dia kini hidup hanya bergantung harap dengan bantuan OKU tidak bekerja sebanyak RM300 sebulan dan dilantik sebagai Duta Jenama untuk syarikat kecergasan, Fit4P dengan bayaran RM400 sebulan sejak Februari 2020 dengan kontrak selama dua tahun.

Katanya, dengan pendapatan itu, dia perlu berjimat-cermat untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.

Malah Faridul bersyukur kerana tidak mempunyai komitmen pinjaman kerana rumah dan keretanya sudah habis dibayar dengan menggunakan wang simpanan yang ada sebelum ini.

“Mudah-mudahan di luar sana ada mana-mana syarikat yang sudi menawarkan kerja tetap kepada golongan seperti saya dan diberi peluang sama seperti orang lain.

“Malah saya juga sedia berkongsi pengalaman dengan atlet muda Paralimpik walaupun tidak banyak dan adalah sedikit yang boleh dikongsikan,” katanya anak bongsu daripada enam beradik ini.

Bekas atlet Paralimpik Negara, Faridul Masri merenung melihat pemandang dari luar ketika di Pangsapuri Casa Riana, Taman Puncak Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2021.

Mengakhri perbualan, Faridul sempat menitip nasihat kepada atlet Paralimpik baharu.

“Kepada atlet di luar sana yang baru berkecimpung dalam dunia Paralimpik, kuatkan semangat dan tempuhi segala cabaran.

“Satu lagi bila anda sudah masuk (dunia sukan) berlatihlah bersungguh-sungguh. Jangan main-main dan kalau boleh dapat seberapa banyak pengat untuk negara,” katanya penuh semangat.

Orang ramai yang ingin bertanya khabar boleh menghubungi Faridul di talian talian +60146987071 atau menyalurkan sumbangan ke Maybank – 162889026975. – MalaysiaGazette

Antara pingat yang berjaya dirangkul oleh bekas atlet Paralimpik Negara, Faridul Masri sehingga mengharumkan nama Malaysia dalam acara merejam lembing ketika di Pangsapuri Casa Riana, Taman Puncak Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 APRIL 2021.