Anggota Tentera Malaysia (ATM) mengawal laluan keluar masuk sekitar kawasan Chow Kit berikutan diketatkan kawalan pentadbiran bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh daerah di Kelantan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini giliran daerah Sandakan di Sabah pula dikenakan pelaksanaan sama.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKP di daerah itu dilaksanakan ekoran peningkatkan kes harian positif Covid-19.

“Sehingga hari ini, sebanyak 46 kes baru telah direkodkan dan secara kumulatifnya sebanyak 6,806 keseluruhan kes dilaporkan di daerah itu.

“KKM mengesahkan sebanyak 78 kes juga direkodkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaksanaan itu ekoran penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.

Perintah PKP itu berkuatkuasa Sabtu ini sehingga 30 April depan.

“Pelaksanaan PKP ini antara lain untuk memastikan kadar infeksi terkawal dan tidak menular dengan pantas ke kawasan lain dalam daerah mahupun ke daerah berlainan,” jelas Ismail lagi.

Dalam pada itu, satu lagi daerah di Sabah iaitu Tawau dilanjutkan tempoh PKP.

Ia ekoran peningkatan kes aktif Covid-19 di kawasan itu daripada 124 kepada 729 kes dalam tempoh 14 hari.

KKM turut melaporkan banyak kes baru dikesan dan 11 lokaliti di dalam daerah Tawau kini sedang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

PKP itu yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 30 April depan.

Sementara itu, lima Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diumumkan tamat hari ini.

“PKPD itu adalah PKPD di Kampung Baji, Sarikei, Sarawak; PKPD Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak; PKPD Kampung Binyu Lama, Bahagian Kuching, Sarawak, PKPD Kampung Binyu Baru, Bahagian Samarahan,
Sarawak dan PKPD Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah,” kata Ismail.

Kesemua PKPD itu akan ditamatkan esok.

Sementara itu, dua lagi PKPD diwujudkan iaitu di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan dan PULAPOL Kuching dan Kuarters Kakitangan, Kuching, Sarawak.

PKPD di Bunut Sarang Burung, Tumpat itu dilakukan selepas 50 kes positif direkodkan berlalu dikalangan penghuni sekolah tersebut.

PKPD PULAPOL Kuching dan Kuarters Kakitangan, Kuching pula disebabkan 123 kes positif yang dikesan berlaku kepada pelatih dan penghuni PULAPOL tersebut

Ismail turut mengumumkan lanjutan tempoh PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka.

Ia ekoran berlaku penularan jangkitan sehingga 191 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti tersebut.

PKPD itu akan bermula Sabtu depan dan berakhir 30 April depan. – MalaysiaGazette