Tan Sri Muhyiddin Yassin Covid-19 pandemic
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyddin Yassin memberi jaminan bahawa tiada motif jahat di sebalik pengisytiharan Darurat seperti beberapa kebimbangan dibangkitkan sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri berkata pengisytiharan tersebut dilakukan dengan tujuan utama membendung penularan pandemik COVID-19 serta mempercepatkan langkah perundangan berkaitan pengurusan wabak itu.

‘Ini merangkumi penggunaan aset hospital swasta, mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan menggunakan sumber hospital swasta bagi merawat pesakit COVID-19,

“Jadi, sila yakin bahawa tidak ada motif jahat di sebalik pengisytiharan Darurat ini,” katanya ketika  berucap pada sesi dialog bersama industri anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini hari ini.

Perdana Menteri juga mengulangi bahawa Darurat tidak akan digunakan untuk melanggar hak asasi manusia, harta persendirian dan hak undang-undang lain.

Katanya Malaysia berpegang teguh pada prinsip kedaulatan undang-undang, justeru, ia tidak akan bertindak dengan cara yang boleh menghina prinsip undang-undang yang dipegangnya.

“Sehubungan itu, adalah penting bahawa komuniti perniagaan, baik domestik dan antarabangsa memahami ini,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata usaha memerangi pandemik COVID-19 adalah tanggungjawab bersama kerajaan, sektor swasta, masyarakat dan individu dan semua pihak ini perlu berganding bahu dalam membanteras krisis ini.

Pada 12 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Darurat  sehingga 1 Ogos depan atau satu tarikh lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung gelaja wabak COVID-19.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast