Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR – Seramai 82 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan kesemuanya dikenakan kompaun dalam operasi pematuhan, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tidak memakai pelitup muka antara pelanggaran SOP paling tinggi membabitkan 21 individu.
“Ini diikuti gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis membabitkan 15 individu, tiada penjarakan fizikal (14), aktiviti pusat hiburan (2) dan lain-lain (30),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, pihak berkuasa menangkap tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas empat kenderaan dalam Operasi Benteng (Op Benteng), semalam.
“Op Benteng turut mengesan sebanyak 169 buah bot atau kapal dalam perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan.
“Enam pendatang asing tanpa izin turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran,” katanya.
Dalam pada itu, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 64,733 pemeriksaan memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
“Seramai 3,594 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,575 anggota telah membuat pemantauan di 4,181 pasaraya, restoran (5,130), kilang (2,355), bank (4,089), pejabat kerajaan (1,283) dan penjaja (3,967).
“Turut dipantau ialah pasar awam/tani (1,999), tempat ibadah (3,333), tempat riadah (1,766), terminal pengangkutan darat (1,918), terminal pengangkutan air (343) dan terminal pengangkutan udara (116),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast