Syabu seberat 13 kg yang ditemui dalam but kereta di hadapan pasar raya Mahkota Cheras pada 12 April lalu.

KUALA LUMPUR – Gerak-geri mencurigakan dua individu lelaki tempatan di hadapan sebuah pasar raya di Bandar Mahkota Cheras berjaya membawa kepada rampasan dadah syabu seberat 13.290 kilogram (kg) oleh polis.

Kedua-dua suspek berusia 30 dan 33 tahun itu ditahan bersama sebuah kereta Proton Persona di tempat letak kereta hadapan pasar raya tersebut pada jam 4.30 petang, 12 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, semasa pemeriksaan dalam but kereta itu dilakukan, polis berjaya menemui satu beg kanvas berwarna biru bercorak bunga.

Pemeriksaan selanjutnya dilakukan dan menemui 13 bungkusan teh Cina bertulisan Guan Tin Wang.

“Di dalam setiap bungkusan itu mengandungi dadah syabu atau methaphetamine anggaran berat berjumlah 13.260 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekalan itu disyaki dibawa masuk dari negara jiran menggunakan pengangkutan darat oleh kedua-dua suspek.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek kedua mempunyai dua rekod jenayah lampau dan ujian saringan menunjukkan kedua-dua suspek negatif.

Menurut beliau, dadah yang dianggarkan berjumlah RM477,360 itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan boleh digunakan oleh 26,520 orang penagih sehari.

Kedua-dua suspek telah direman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah sehingga Ahad ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mana jika disabitkan kesalahan akan dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan. – MalaysiaGazette