Gomathy bersama sijil-sijil penghargaan yang pernah diterimanya.

JOHOR BAHRU – Seorang guru sains dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kangkar Pulai di sini menjadi warga pendidik contoh apabila berjaya mencipta lebih dari 60 ciptaan inovasi.

Bermula tahun 2008, S. Gomathy, 48, telah menghasilkan banyak inovasi dan mendapat penganugerahan di pelbagai peringkat termasuk antarabangsa.

Gomathy berkata, inovasi ciptaannyau terhasil daripada masalah komuniti dan persekitatan yang dilihatnya sendiri.

Pada 2013, ciptaannya, Aqua Basikal berjaya mendapat pengiktirafan dalam pertandingan inovasi tiga negara iaitu Kanada, Korea dan Malaysia.

“Inovasi yang saya hasilkan, pertama saya gunakan banyak bahan buangan dan ia diharapkan dapat selesaikan isu global selain daripada itu inovasi untuk golongan tertentu  selesaikan masalah mereka.

“Contohnya, akua basikal ini digunakan untuk  membersihkan air kotor,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, sebelum melakukan sesuatu inovasi, dia bersama muridnya biasanya memasuki kampung Orang Asli terlebih dahulu bagi mendapatkan hasil idea.

“Pada masa itu mereka bertanya bagaimana cikgu mahu bantu mereka? Jadi saya hasilkan akua basikal ini yang boleh bersihkan air kotor jadi bersih.

“Basikal ini ada dua kontena di mana satu depan dan satu belakang dan bila kita kayuh pedal air akan ke filter dan filter akan hasilkan air bersih ke rumah mereka,” katanya.

Jelasnya, setiap ciptaan yang dihasilkan akan memberi tumpuan kepada golongan tertentu dan dapat membantu penyelesaian sesuatu komuniti.

Ibu kepada dua anak itu juga mampu menghasilkan lapan ciptaan dalam tempoh setahun.

“Selain dari bahan terbuang saya juga fokuskan dari sumber alam semula jadi dan herba. Contohnya, saya juga pernah menghasilkkan lilin terapi dan minyak rambut dari pelbagai herba berkhasiat,” katanya.

Difahamkan ciptaan itu juga mendapat anugerah emas dalam pertandingan inovasi di Kanada.

Jelasnya juga, sepanjang tempoh pandemik, beliau turut aktif menyertai pertandingan inovasi secara maya.

Menyentuh mengenai dana, katanya walaupun pelbagai usaha dan kejayaan diraih namun beliau lebih senang menggunakan modal sendiri yang datang daripada hasil daripada kemenangan yang diperoleh daripada ciptaan inovasinya.- MalaysiaGazette