Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis. Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi menjamin pengawalan penularan Covid-19 untuk menyegerakan pembukaan sempadan negara.

Menurut Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis, industri pelancongan memerlukan pasaran antarabangsa untuk terus bertahan.

“Sebenarnya kami di MTC mengalu-alukan pembukaan sempadan antarabangsa dibuka secepat yang mungkin, kita kena belajar hidup dengan norma baharu virus ini kerana kita kena imbangkan pandemik Covid-19 dengan pandemik ekonomi kita ini memerlukan pasaran antarabangsa terutama pasaran pelancongan.

“Contohnya, Jepun teruskan sukan Olimpik semua negara tengah bersedia membuka sempadan. Kita kena belajar cara nak hidup bersama virus ini,” katanya ketika sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia hari ini.

Terdahulu beliau menyambut baik usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang berangkat ke Arab Saudi bagi membincangkan mengenai hal ehwal haji dan umrah untuk umat Islam di Malaysia.

Secara tidak langsung ujar Uzaidi, keputusan positif daripada perbincangan kedua-dua pihak kelak akan dapat membantu syarikat pakej umrah dan haji khususnya dalam kalangan usahawan Bumiputera.

Uzaidi turut berharap kerajaan akan meluaskan usaha perbincangan dengan negara lain seperti China, Singapura dan Indonesia yang merupakan antara pelancong  yang ramai datang ke Malaysia.

“Bukan hanya Arab Saudi tapi kami berharap perbincangan dibuat di pasaran besar seperti China, Singapura, Indonesia yang kita terima pelancong tinggi bukan semestinya buka sekarang tapi kena ada persediaan,” tambahnya. -MalaysiaGazette