Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Susulan peningkatan kes positif Covid-19 harian di seluruh negara lima hari berturut-turut sejak Isnin lalu, sebanyak lima kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu melibatkan dua di Sabah dan masing-masing satu di Kelantan dan Johor bermula 17 April hingga 30 April ini.

“Antara kawasan baharu PKPD ialah Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah; Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan serta Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong, Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, bagi PKPD Taman Tawau Lama, Sabah, lima kes positif Covid-19 telah dilaporkan di kawasan ini selepas sembilan ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Manakala di Kampung Batu Payung, sebanyak lapan orang didapati positif Covid-19 hasil daripada 12 ujian saringan yang telah dilaksanakan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokasi terbabit di Tawau, Sabah bermula dari 17 April sehingga 30 April 2021,” katanya.

Selain itu, Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, di Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan dikenakan PKPD selepas 31 kes positif Covid-19 direkodkan di pusat pengajian itu daripada 56 ujian saringan.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan bermula dari 17 April sehingga 30 April 2021,” katanya.

Dua lagi lokaliti yang dikenakan PKPD ialah Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang di Bentong, Pahang.

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 420 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya, 15 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu selain masih terdapat 247 sampel ujian menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong, Pahang berkuat kuasa 17 April sehingga 30 April 2021,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast