KUALA LUMPUR – “Kami desak agar lesen syarikat judi dalam talian yang membuat promosi video judi atas talian yang tular di media sosial ditarik balik,”.

Itu desakan 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat satu laporan polis, semalam.

Menurut Presiden Pertubuhan Kebajikan Adat Budaya Malaysia (ABM), Shahrul Fadzly, satu langkah drastik perlu diambil kerajaan agar perkara ini tidak berulang.

“Kalau dulu nak masuk kedai judi orang takut dan malu, sekarang boleh berjudi di mana-mana, kalau kerajaan tidak tegas dalam isu ini, akhlak anak minda yang merupakan penerus generasi hari ini akan rosak.

“Saya sarankan SKMM boleh sekat sahaja IP address atau server syarikat judi ni, kalau laman web lucah boleh disekat, saya pasti aplikasi judi online juga boleh disekat,” katanya.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (PERKID), Masridzi Sat berkata, pihak berwajib perlu segera mencari dalang video berkenaan segera kerana ia jelas menyalahi undang-undang.

“Kerajaan, PDRM, SKMM perlu cari setiap perlaku di dalam video tersebut daripada pelakonnya, syarikat produksi video, dalang di sebalik judi atas talian dan juga pemilik GDBet333 sehingga ke lubang cacing,” katanya selepas membuat laporan polis berkenaan.

Antara NGO yang turut hadir adalah Pertubuhan Kebajikan Adat Budaya Malaysia (ABM), Persatuan Seni Silat Cimande Tun Perak, PEKIDA Wangsa Maju, Ninja Society, Setia Bakri Ikhlas (SBI), Persatuan Anak Johor Di Perantauan, Pertubuhan Seni Silat Harimau Gayong Malaysia, dan Kelab Sosial Armada Sahabat Bersatu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan kesemua pelakon dalam iklan raya yang mempromosikan judi online sehingga mencetuskan kemarahan ramai sudah ditangkap polis.

Jelas Mohamad Zainal, mereka akan direman untuk siasatan lanjut.

Terdahulu tular klip video sebuah syarikat perjudian yang mempromosikan perniagaan mereka menggunakan lagu berirama hari raya dengan mengetengahkan watak lelaki memakai baju Melayu dan perempuan memakai tudung.

Iklan itu mengajak orang awam berjudi untuk mendapatkan ‘duit raya.’

Klip video selama 2.48 minit itu tular di media sosial sejak malam tadi dan menerima kecaman hebat netizen. – MalaysiaGazette