JOHOR BAHRU – Bagi penggemar kuih berintikan manisan pastinya menyukai buah melaka, ketayap atau semua jenis kuih tradisi yang dikukus.

Selain lembut dan senang dimakan dengan kepelbagaian rasa menyebabkan kuih-muih tradisi ini sering dijadikan hidangan tanpa mengira waktu.

Di Taman Saujana, Plentong umpamanya, peniaga bazar Ramadan, Zanura Sharuddin, 42,memilih untuk menjual kuih tradisional yang terkenal di Pantai Timur iaitu kuih ‘ulat bulu’.

Katanya, jika buah Melaka berintikan gula Melaka atau gula merah, kuih ulat bulu diletakkan kacang merah di dalamnya.

“Kalau tengok ramai yang ingat kuih ulat bulu ini kuih buah melaka.

“Kalau kuih ulat bulu intinya ada yang letak kacang merah atau kacang tumbuk beserta gula, jadi beza,”katanya ditemui di Taman Saujana, Plentong di sini.

Beliau berkata, kuih berkenaan dipanggil kuih ulat bulu memandangkan bentuknya seakan-akan seperti ulat bulu.

Namun, disebabkan keunikan nama kuih berkenaan, rezekinya pada bulan Ramadan juga agak memberangsangkan.

“Masa hari pertama kakak jual kuih ini, memang ramai yang tak tahu terutama kalau yang bukan dari Pantai Timur memang dia orang pelik dengan nama kuih ni.

“Tapi disebabkan nama dia pelik sambutan dia pun boleh tahan, macam kakak letak atas meja pukul 3 dalam pukul 4 atau 5 habis dah,” katanya.

Perbezaan lain yang ketara pada bentuknya yang bujur berbanding buah Melaka yang berbentuk bulat.

Berkongsi cara menyediakan kuih ulat bulu, bahan-bahan digunakan untuk bahagian luarannya adalah tepung pulut dan pewarna mengikut kesukaan.

“Warna-warna ini bergantung kepada si pembuatnya.

“Jika inginkan satu warna sahaja tidak menjadi masalah,” katanya. – MalaysiaGazette