Antara babak dalam satu lagi iklan hari raya yang mempromosikan aktiviti judi.

KUALA LUMPUR – Belum sempat negara dikejutkan dengan iklan raya mempromosikan judi dalam talian semalam, umat Islam hari ini sekali lagi terkejutkan dengan penerbitan sebuah lagi iklan yang hampir sama daripada syarikat perjudian lain pula tular di media sosial.

Berdasarkan perkongsian oleh warga maya, iklan baharu berdurasi tiga minit dan 16 saat itu memaparkan dua pasangan sedang melakukan persiapan menyambut Aidilfitri.

Menggunakan modus operandi yang sama, iklan perjudian itu turut menggunakan khidmat pasangan pelakon dipercayai Muslim dengan imej lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka.

Selain itu, iklan tersebut turut memperlihatkan suasana Aidilfitri dengan menghias rumah dengan lampu berkelipan dan pemberian duit raya.

Menerusi video tersebut turut diselitkan promosi syarikat perjudian tersebut termasuk nama syarikatnya.

“Aku pun mahu juga IPC003, manalah tahu berjaya, hari raya kita kaya. Bersama kita raikan bila ada kemenangan IPC003. Hari raya bahagia,”antara bait-bait lirik yang terdapat dalam video berkenaan.

Penularan video tersebut sekali lagi membangkitkan kemarahan umat Islam selepas satu video berdurasi dua minit 1 saat yang mempromosikan aktiviti perjudian tular sejak semalam.

Berikutan itu, pihak berkuasa mula membuka kertas siasatan dan telah menangkap lapan orang termasuk pelakon, ejen artis, jurukamera, penerbit serta pengarah. – MalaysiaGazette