Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Berita gembira buat penduduk di sekitar Keningau apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu ditamatkan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan perintah itu disebabkan trend kes aktif di kawasan itu kini terkawal.

“KKM mengesahkan baki kes aktif di daerah ini menunjukkan trend penurunan dan kluster adalah terkawal.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKP di Daerah Keningau, Sabah pada 18 April 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, ekoran peningkatan kes positif Covid-19 di seluruh negara, kerajaan melaksanakan enam lagi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

PKPD itu dilaksanakan di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tengah, Daerah Betong, Sarawak bermula dari 18 April sehingga 1 Mei depan.

“Secara kumulatif sebanyak 11 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini daripada 174 ujian saringan yang telah dilaksanakan,” katanya.

Selain daerah Betong, Taman Mesra Bako, Kuching turut dilaksanakan PKPD.

Ia selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yaang mengesan 27 kes positif di kawasan itu.

Sabah merekodkan tiga PKPD iaitu di Sekolah Menengah Agama, Kota Kinabalu, tiga lokaliti di Lahad Datu dan tiga taman perumahan di Daerah Tawau.

PKPD Sekolah Menengah Agama, Kota Kinabalu disebabkan 55 kes positif Covid-19, PKPD tiga lokaliti di Lahad Datu merekodkan 13 kes positif dan PKPD Taman Perumahan di Daerah Tawau 27 kes.

Sementara itu di Kelantan, PKPD Sekolah Menengah Sains Machang merekodkan 11 orang dijangkiti Covid-19.

Keenam-enam PKPD ini bermula esok dan dijangka berakhir 1 Mei depan.

Dalam pada itu, satu PKPD sedia ada dilanjutkan tempohnya sehingga 2 Mei depan.

Ia ekoran PKPD di seluruh Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu itu mencatatkan peningkatan 28 kes positif Covid-19 setakat ini.

Selain itu, tiga PKPD ditamatkan mulai esok dan Khamis depan.

Antaranya PKPD Kampung Pagalungan Ansip, Keningau, Sabah; PKPD Kampung Kalindukan, Nabawan, Sabah; dan PKPD di 5 kawasan Taman Perumahan dan Perkampungan di daerah Pekan, Pahang.

Dalam perkembangan lain, seramai 72 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kesemuanya dikenakan kompaun.

Daripada jumlah itu, 25 melakukan kesalahan tidak memakai pelitup mulut, 21 individu gagal merekodkan butiran peribadi, 3 kes tiada penjarakan fizikal dan lain-lain kes 23. – MalaysiaGazette