Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan telah menerima 38 laporan mengenai video iklan raya promosi judi yang tular baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini lapan individu telah ditahan untuk membantu siasatan.

“Polis telah berjaya mengesan dan menahan lapan individu iaitu lima lelaki dan tiga wanita yang disyaki terlibat sebagai pelakon, agen artis, jurukamera, serta produser dan pengarah video dalam pengambaran video tersebut.

“Kesemua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan pengambaran video berkenaan yang diadakan di dua lokasi di Ampang dan Hulu Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata, pengambaran dibuat pada 13 Mac lalu.

Kelapan-lapan individu itu ditahan dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, usaha untuk mengesan dalang sebenar video berkenaan sedang dijalankan.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam apa juga aktiviti perjudian di negara ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan kepada pihak polis,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan kesemua pelakon dalam iklan raya yang mempromosikan judi online sehingga mencetuskan kemarahan ramai sudah ditangkap polis.

Jelas Mohamad Zainal, semua suspek akan direman untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette