Safawi Rasid. Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Pengedali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora memberi komen menarik di sebalik kemunculan semula bintang sensasinya, Safawi Rasid ketika menang ke atas Sri Pahang FC malam tadi.

Mora dengan nada berseloroh berkata, pemain sayap lincah itu perlu memotong rambutnya yang dilihat semakin panjang.

“Ya, Safawi akhirnya kembali, dia cuma perlu potong rambut. Saya sangat gembira kerana dia tersisih agak lama.

“Dia sedang bekerja keras untuk mendapatkan semula permainan dan rentaknya.lah bermain dalam banyak perlawanan, jadi nampaknya saat ini, penggiliran pemain adalah yang terbaik,” katanya selepas perlawanan berakhir.

Kali terakhir Safawi bermain adalah ketika menang 4-0 ke atas UiTM FC, kira-kira sebulan yang lalu.

Bagaimanapun, beliau hanya sempat beraksi tidak sampai 10 minit apabila mengalami kecederaan yang memaksanya dikeluarkan.

Malam tadi, kelibat Safawi mencuri perhatian semula apabila dimasukkan pada minit ke-70 untuk menggantikan pemain yang masuk menggantikannya di Stadium UiTM, Arif Aiman.

JDT terus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Super dengan 23 mata, lima mata di depan Terengganu FC yang turut merekodkan tiga mata dalam satu lagi aksi liga di Gong Badak.

Bercakap tentang tiga mata yang tidak mudah untuk diraih skuad Harimau Selatan pada malam tadi, Mora berkata: “Saya rasa perlawanan mudah bukan perkataan yang sesuai. Saya rasa yang sesuai adalah (kami perlu) bermain lebih baik.”

“Kami sepatutnya bermain lebih baik. Kami juga sepatutnya lebih agresif dan membuat kombinasi permainan yang lebih baik, namun sepertinya ia kurang menjadi dan pemain telah mencuba. Mungkin beberapa faktor lain menjejaskan sedikit rentak kami.

“Sebagai jurulatih, kemahuan saya adalah untuk pasukan menjadi yang terbaik setiap masa. Tetapi, ada masanya kita tidak dapat menjaringkan empat atau lima gol kerana adakalanya lawan bermain dengan baik. Pahang adalah lawan yang sukar,” ujarnya lagi.

“Namun, akhirnya, tiga mata berharga dan tidak dibolosi sangat penting buat kami untuk mengekalkan kedudukan kami di puncak liga,” jelas Mora.

Selepas sembilan aksi, JDT gagal dibolosi dalam enam aksi dan hanya Selangor FC, Perak FC dan Sabah FC yang berjaya menewaskan Farizal Marlias di gawang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast