Pengerusi MCMC, Dr Fadhullah Suhaimi bercakap pada sidang media berkaitan tindakan KKMM terhadap Iklan Promosi Judi bertemakan Aidilfitri di Kompleks KKMM, Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 18 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar kod kandungan, apatah lagi menyentuh sensitiviti umat Islam.

Pengerusinya, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan tegas termasuk kandungan itu diturunkan daripada laman media sosial.

“Jika langgar kod kandungan maka kita mohon untuk pembekal platform media sosial menurunkan kandung termasuk YouTube, Instagram dan Facebok.

“Setakat ini SKMM sudah memohon 61 kandungan untuk diturunkan daripada pembekal platform sedia ada,” katanya pada sidang media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah di KKMM, hari ini.

Dalam pada itu, SKMM berdepan dengan cabaran untuk menurunkan kandungan di mana ada sesetengah pembekal platform enggan berbuat demikian kerana berpengkalan di luar negara.

“Setakat semalam masih 13 peratus sahaja kandungan yang berjaya diturunkan.

“Kita kena faham nilai yang dipegang pemegang platform bukan nilai masyarakat Malaysia.

“Mereka berpengkalan di luar negara, kalau kita mohon tak semestinya dia bertindak turunkan kandungan,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui kandungan berkaitan dengan umat Islam menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mudah untuk diturunkan.

“Baru-baru ini kandungan Jakim begitu cepat diturunkan kerana itu adalah masalah agama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast