KUALA LUMPUR – Kes baharu positif Covid-19 terus meningkat hari ini dengan 2,078 direkodkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak tertinggi dengan 589 kes.
“Kes positif Covid-19 di Selangor 457, Kelantan 290, Kuala Lumpur 153, Sabah 125, Johor 115, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing 91, Kedah 48, Perak 43, Pahang 32, Melaka 27, Terengganu 8, Labuan 6, Putrajaya 2, dan Perlis 1 kes,” demikan menurut Noor Hisham.
Daripada jumlah itu, kes penularan tempatan adalah sebanyak 2,065 dengan 1,885 kes melibatkan warga tempatan dan 180 bukan warganegara.
13 kes import direkodkan hari ini melibatkan tiga warganegara dan bakinya bukan warganegara.
Sejumlah 20,522 kes masih aktif dilaporkan di negara ini dan daripada jumlah itu 228 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 93 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan..
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan hari ini terdapat lapan kes kematian dilaporkan yang mana kesemuanya adalah warganegara.
Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini disebabkan oleh Covid-19 sebanyak 1,386 kes sehingga hari ini.
Hingga jam 12 tengah hari ini, terdapat 1,402 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya ialah 355,224 kes atau 94.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 14 kluster baharu hari ini dengan enam daripada adalah kluster pendidikan termasuk satu (1) kluster sekolah/ institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), empat kluster komuniti, tiga kluster tempat kerja, dan satu kluster keagamaan.
Sebanyak 12 kluster tamat hari ini menjadikan jumlah kluster tamat adalah 1,194.
Kluster yang masih aktif adalah 340. – MalaysiaGazette