MERSING – Dua bot Zon A bersama 12 pemancing tempatan ditahan kerana menangkap ikan dalam kawasan Taman Laut dalam dua kejadian berasingan di sekitar Pantai Pulau Air di sini, semalam.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Noraishah Hashim memberitahu, kedua-dua bot itu ditahan hasil rondaan rutin pemantauan vesel pantai timur telah dijalankan di perairan Johor Timur oleh Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Johor.

Katanya, hasil siasatan serta pemeriksaan mendapati dua vesel penangkapan ikan zon A itu melakukan kesalahan di bawah seksyen 43, Akta Perikanan 1985 iaitu mengambil, mengalih atau memiliki haiwan akuatik dalam kawasan Taman Laut.

“Vesel penangkap ikan yang pertama ditahan sekitar 3 pagi, di 0.5 batu nautika daripada Pantai Pulau Aur, di sini menahan seorang tekong berumur 62 tahun dan enam pemancing tempatan berumur sekitar 49 tahun sehingga 75 tahun.

“Manakala vesel kedua ditahan 0.6 batu nautika daripada Pantai Pulau Aur, yang membabitkan seorang tekong berusia 56 tahun, seorang awak-awak berumur 48 tahun dan enam pemancing berumur 34 tahun sehingga 58 tahun.

“Vesel ini ditahan dan peralatan menangkap ikan akan disiasat di bawah seksyen 43 (1), Akta Perikanan 1985. Pihak Jabatan Perikanan Negeri Johor mengingatkan nelayan agar sentiasa mematuhi syarat lesen. Taman Laut Johor telah diwartakan dibawah Perintah Penubuhan Taman Laut Malaysia mulai 1994,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian berasingan, Noraishah memaklumkan pihaknya telah menahan sebuah bot pukat tunda Zon C.

Katanya, bot itu ditahan bersama lima kru termasuk seorang tekong dalam rondaan rutin pemantauan vesel pantai timur di 10.7 batu nautika daripada Pantai Tanjung Sekakap, di sini, semalam.

“Selepas pihak kami menjalankan pemeriksaan dan hasil siasatan terdapat empat awak-awak dan tekong warga tempatan berumur di antara 31 hingga 51 tahun. Kesemua mereka ditahan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan (menunda) pada jarak dibawah 12 batu nautika.

“Terdapat hasil tangkapan bernilai sekitar 80 kilogram seperti sotong dan ikan selar kuning turut disita.

“Vesel ini ditahan dan peralatan menangkap ikan akan disiasat di bawah seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985,” katanya. – MalaysiaGazette