PEMBUKAAN bazar Ramadan memberikan sinar harapan kepada peniaga-peniaga kecil yang terkesan dengan kelembapan ekonomi di kala pandemik COVID-19 ini. Pelbagai juadah disediakan bagi membolehkan orang ramai menjamu selera ketika berbuka puasa. Kuih muih beraneka macam dan lauk pauk yang menyelerakan sudah pasti menambat hati pengunjung ke bazar Ramadan.
Pelbagai juadah yang enak-enak dijual di bulan Ramadan bagi menambat hati pengunjung. Selain itu, promosi-promosi buffet Ramadan yang terpampang di media sosial dan media perdana juga sudah pasti mengundang rasa ingin mencuba.
Namun begitu, timbul persoalan adakah Ramadan ini bulan pesta makanan? Dimanakah hilangnya konsep menahan lapar dan dahaga serta menginsafi kehidupan orang yang tidak berkemampuan. Mengapa nafsu dibiarkan menguasai diri takala menikmati juadah berbuka puasa.
Sedangkan pada bulan yang lain sudah cukup dengan sepinggan nasi dan segelas air. Dari segi syarak, puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa daripada terbit fajar matahari sehingga terbenamnya matahari. Ibadah berpuasa ini juga perlulah disertakan dengan niat.
Di dalam Surah al-Baqarah ayat 183 telah jelas menyatakan kewajipan berpuasa.
“Orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa”.
Seharusnya kita menjadikan Ramadan satu tarbiah bagi menjadikan diri sebagai hambanya yang bertakwa dan cakna terhadap kesusahan seta keperitan hidup orang yang kurang bernasib baik. Amalan berpuasa ini telah diketahui mempunyai kelebihan dari segi kesihatan. Pelbagai kajian telah dilakukan terhadap amalan berpuasa.
Antara kelebihan berpuasa adalah seperti membantu merendahkan paras lemak dan kolestrol badan, mengawal berat badan, meningkatkan imuniti badan dan mengawal paras gula dalam darah. Hebatnya ibadah berpuasa ini, sehinggakan terdapat gerakan di barat yang mula memperkenalkan kaedah intermittent fasting bagi mengambil kebaikan daripada amalan berpuasa ini.
Mereka memperkenalkan beberapa kaedah berpuasa seperti tidak makan selama 14 hingga 16 jam, makan 5 hari secara biasa dan berpuasa pada 2 hari, berpuasa sehingga 24 jam untuk dua hari dalam seminggu dan berpuasa selang sehari. Sekiranya berpuasa hanya untuk makan berlebihan apabila masa berbuka, sudah pasti orang yang berpuasa tidak akan mendapat faedah kesihatan ini.
Bagi umat Islam, terdapat dua kegembiran ketika berpuasa iaitu ketika berbuka dan bertemu Allah SWT kelak. Ini dijelaskan oleh Hadith Riwayat al-Tirmizi (696) yang bermaksud ‘’Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya”.
Walaupun, kegembiraan berbuka puasa itu jelas, namun janganlah kita melebih-lebih ketika berbuka. Berbukalah dengan beberapa biji kurma dan minum air seperti yang disunahkan. Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi yang bermaksud “Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air”. Amalan Rasullallah seperti inilah yang harus diikuti oleh kita yang berpuasa.
Akhir kata, bulan Ramadan perlulah dipenuhi dengan amalan membaca al-quran, solat sunat Terawih, bersedekah, iktikaf di masjid dan menhidupkan malam lailatul Qadar. Jangan jadikan bulan Ramadan satu pesta makan dan minum. Moga amalan kita diberkati dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Seperti Sabda Rasulullah SAW, “Allah berfirman; "Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-Ku. Puasa (yang dikerjakan) kerana-Ku.
Puasa adalah untuk-Ku. Sedangkan, Aku memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Hal ini kerana, ia (puasa) adalah untuk-Ku, dan (sudah tentu) Aku sendiri yang akan memberi balasannya." Hadis diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al-Muwattha, Kitab al-Syiyam. No:603.
Oleh: Prof Madya Dr Azrul Hafiz bin Abdul Aziz
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia