Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bercakap selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk penyerahan memorandum tamat darurat di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tamat Darurat tidak menolak kemungkinan menghantar surat ketiga untuk memohon perkenan  menghadap Yang Dipertuan Agong untuk menyerahkan memorandum menamatkan darurat pada Jun depan.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada permohonan kedua yang dihantar kepada Setiausaha Sulit Kanan Agong  hari ini.

“Jawatankuasa Tamat Darurat akan datang lagi kalau lepas sebulan setengah masih tidak ada jawapan mengundang atau membenarkan kami untuk datang menghadap.

“Maka kami akan datang membawa surat lagi dengan bukti-bukti tambahan betapa darurat itu merumitkan ekonomi dan negara,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Pintu 3 Istana Negara hari ini.

Terdahulu beliau bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyerahkan surat menghadap YDPA kepada Setiausaha Sulit Kanan Agong, Kolonel Nazim Mohd Alim.

Ia merupakan surat kedua yang dihantar jawatankuasa itu kepada Yang Dipertuan Agong bagi memohon perkenan Baginda untuk menerima petisyen rayuan menamatkan darurat.

Khalid juga berkata, dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau yakin usaha untuk menghadap YDPA akan jadi kenyataan bagi membawa suara rakyat.

“Tun M adalah penyokong kuat kita bahkan beliau hadir bersama kita pada hari ini dan kita akan bertindak bersama. Macam mana pun kita yakin Agong akan bersetuju untuk kami menghadap kerana kami mewakili rakyat jelata,” katanya.

Khalid turut menyatakan keyakinan permohonan untuk menghadap YDPA akan terima susulan pelaksanaan darurat memberi banyak kesan buruk kepada masyarakat.

“Saya cukup yakin bahawa setelah lebih sebulan pengisytiharan darurat, kesan-kesan negatif dan buruk semakin hari semakin jelas dan semakin nyata.

“Kami yakin bahawa kali ini YDPA akan perkenan untuk menerima kunjungan daripada Jawatankuasa Tamat Darurat ini.

“PN menggunakan kuasa yang ada untuk menjaga kepentingan mereka semata-mata, tidak mempunyai hala tuju pembangunan bagi negara dan masyarakat, yang jelas semua bercelaru, semua dilakukan atas kepentingan politik untuk kekal berkuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast