Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  telah memulakan siasatan terhadap penularan isu kematian beberapa orang kakitangan kementerian itu yang didakwa akibat pengambilan vaksin Covid-19.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  telah memulakan siasatan terhadap penularan isu kematian beberapa orang kakitangan kementerian itu yang didakwa akibat pengambilan vaksin Covid-19.

Isu itu telah tular secara meluas dalam media sosial sehingga menjadi bahan perbincangan masyarakat umum, kata Bahagian Regulatori Farmasi Negara dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keputusan hasil siasatan akan dihebahkan kepada umum selepas ia selesai dijalankan.

“Umum mengetahui bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah bermula di Malaysia pada 24 Februari 2021 dengan Fasa 1 yang melibatkan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan iaitu petugas kesihatan, pekerja perkhidmatan penting (essential) dan pertahanan.

“Kini Fasa 2 pemberian vaksin yang bermula pada 19 April 2021 pula melibatkan baki kumpulan daripada Fasa 1 dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik dan orang kelainan upaya (OKU).

“Setakat ini, tiada laporan kematian disebabkan oleh vaksin Covid-19 dilaporkan,” kata kenyataan yang sama.

Sehubungan itu, pihaknya menerusi KKM meminta agar orang ramai agar tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak dikenalpasti sumber dan kebenarannya.

“Sebarang penyebaran atau perkongsian akan menimbulkan kekeliruan orang ramai,” katanya.

Orang ramai diminta untuk merujuk kepada maklumat sah yang boleh didapati di semua platform rasmi media sosial KKM atau berhubung terus dengan Crisis & Preparedness Response Center (CPRC) di setiap negeri atau layari di laman sesawang http://covid-19.moh.gov.my/ atau di talian 03-88810200/ 03-88810600/ 03-88810700 bagi mendapatkan info sahih berkenaan vaksin Covid-19.-MalaysiaGazette