Sindiket terlibat kegiatan pusat panggilan judi online menasasarkan warga China secara tersembunyi di dalam kondominium mewah dengan mengaut keuntungan RM20,000 sehari akhirnya tumpas di tangan polis dalam serbuan tengah malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kegiatan pusat panggilan judi online yang dijalankan secara sembunyi dalam sebuah kondominium mewah di ibu negara yang menjana keuntungan lima angka sehari terbongkar selepas diserbu tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, serbuan dilakukan di kondominum di Jalan Tun Razak pada jam 12.01 pagi tadi hasil maklumat dan risikan.

Hasil serbuan itu polis berjaya menahan seramai 11 individu termasuk tiga wanita kesemua berusia lingkungan 19 hingga 38 tahun.

Pemeriksaan lanjut polis mendapati salah seorang suspek merupakan seorang wanita warga China yang tidak memiliki dokumen sah, katanya.

Saiful Annuar berkata, pihaknya percaya sindiket ini mempromosikan kegiatan judi online itu mensasarkan pelanggan dan pemain di negara China, bergiat aktif menjalankan kegiatan haram ini sejak dua bulan lalu.

“Kondominium itu disewa dengan kadar RM10,000 sebulan manakala setiap suspek selaku pekerja menguruskan judi online itu digaji RM3,000 sebulan selain komisen mendapatkan pelanggannya.

“Mereka mendakwa memperolehi keuntungan kira-kira RM20,000 sehari menerusi kegiatan judi ini,” ujarnya.

Polis turut merampas sebanyak 103 buah telefon bimbit dan 17 unit komputer riba serta modem selain dua router dari sindiket itu untuk siasatan lanjut.

Kesemua mereka yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau telah direman dan siasatan masih dijalankan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.