Liga Juara-Juara Eropah akan distruktur semula dengan dana berjumlah 6 bilion pound oleh UEFA bagi memastikan kelab-kelab yang bersaing setiap musim menjana pendapatan lebih lumayan.

LONDON – Kesatuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sedang dalam perancangan untuk menstruktur semula kejohanan Liga Juara-Juara Eropah sebagai memberi wajah baharu yang lebih menarik dan lumayan.

Presidennya Aleksander Ceferin memaklumkan liga yang distruktur semula bakal menyediakan hadiah wang tunai lebih lumayan untuk pemenang kejuaraan itu setiap musim.

Langkah itu menyusul sejurus selepas Eropah dilanda kontroversi dan kecaman apabila Liga Super Europa yang hanya mensasarkan keuntungan wang berbilion pound semata-mata melibatkan penyertaan kelab-kelab elit Eropah di rantau itu diumumkan pada Ahad lalu.

Ia melibatkan 12 kelab elit Eropah termasuk enam kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Projek itu dikecam oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan UEFA yang menggangap usaha itu sebagai pemusnah sejarah bola sepak rantau Eropah, selain dianggap memalukan peminat bola sepak di benua itu.

Namun dalam masa 48 jam, projek dengan suntikan dana berjumlah 6 bilion pound yang difahamkan dari JP Morgan itu musnah selepas enam kelab EPL yang menyatakan persetujuan keanggotaan mereka pada awalnya telah menarik diri.

Menyedari masalah ini, Ceferin mengumumkan rancangan pengstrukturan liga juara Eropah berkenaan bagi mengelak masalah sedemikian berulang lagi.

Menerusi langkah pengstrukturan itu kelab-kelab bola sepak Eropah yang bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah setiap musim akan disediakan penjanaan pendapatan yang lumayan sepanjang penyertaan dalam temasya tersebut berbanding keadaan sedia ada.

UEFA dilaporkan sedang bekerjasama rapat dengan sebuat syarikat pelaburan terkemuka yang berpengkalan di London bagi tujuan tersebut.

Mereka dalam perancangan untuk mewujudkan satu kejohanan liga juara-juara Eropah yang lebih berprestij dan versi baharu, diyakini tidak akan mengecewakan kelab-kelab elit liga-liga terkemuka benua tersebut.

Sebagai permulaan, sejumlah besar dana bernilai £3.9 bilion akan disuntik untuk projek penstrukturan tersebut sebelum dinaikkan sehingga £6 bilion.

Katanya, penstrukturan semula itu juga digunapakai untuk kelab-kelab yang menyertai Liga Super Europa dan menolak penyertaannya demi manfaat dan pembangunan bola sepak Eropah.-MalaysiaGazette