Sebahagian rampasan daripada sindiket ejen program rekalibrasi warga asing didalangi lelaki Pakistan yang dirampas semalam.

PUTRAJAYA – Satu sindiket ejen program rekalibrasi yang didalangi seorang warga Pakistan di negara ini berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen hari ini.

Dua warga tempatan termasuk seorang gadis yang bersubahat melindungi suspek dan kegiatan menyalahi undang-undang itu turut ditahan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket itu ditumpaskan dalam serbuan di dua premis di Jalan Ipoh semalam  oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas ke atas dua buah premis di Jalan Ipoh di sini.

“Dalam operasi ini seorang lelaki warganegara Pakistan berumur 39 tahun yang merupakan ‘mastermind’ sindiket berkenaan berjaya ditahan.

“Turut ditahan seorang perempuan tempatan berumur 20 tahun dan seorang lelaki juga warga tempatan berumur 24 tahun kerana bekerjasama dan melindungi lelaki Pakistan itu sebagai dorongan menggerakkan kegiatan terlarang itu.

“Pemeriksaan awal mendapati lelaki Pakistan tersebut menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu,” katanya dalam kenyataan kejayaan itu di sini.

Antara pasport yang dirampas di sebuah premis di Jalan Ipoh di sini.Foto ihsan: JIM Putrajaya

Operasi khas ini adalah susulan daripada “Ops Hack” yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 06 April 2021 bagi mengesan saki baki syarikat yang menggunakan pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’ Sistem MyIMMs.

Tambah Khairul, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya berjaya merampas sejumlah 81 naskah pasport pelbagai negara iaitu Pakistan, Bangladesh dan Vietnam serta wang tunai berjumlah RM15,950 di premis tersebut.

Menurut beliau, premis berkenaan dijadikan sebagai pusat mengumpul pasport daripada warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen.

Foto ihsan: JIM Putrajaya

“Kesemua dokumen itu akan dikumpulkan sindiket itu untuk didaftarkan dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dengan bayaran di antara RM2,000 ke RM3,000 seorang.

“Berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi, sindiket ini dianggarkan telah membuat kutipan dalam lingkungan RM243,000 setakat ini,” katanya lagi.

Khairul juga berkata, lelaki Pakistan itu menggerakkan sindiket ini dengan mendapatkan pelanggan dalam kalangan warganegaranya terutama mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen dan ditawarkan untuk menyertai Program Rekalibrasi.

“Semakan awal ke atas pasport yang dirampas di tempat kejadian turut menemui pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’ yang ditumpaskan sebelum ini.

“Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Warga asing dan majikan diminta supaya berurusan terus dengan imigresen dan tidak sesekali menggunakan orang tengah atau ejen  dalam urusan Program Rekalibrasi, tegas beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast