Polis berjaya menyelamatkan lima gadis Vietnam yang dijadikan mangsa eksploitasi seks dengan tawaran RM250 setiap pelanggan di sebuah hotel di ibu negara selain menahan dua lelaki tempatan yang mendalangi kegiatan itu.Foto Ihsan:JSJ IPK KL

KUALA LUMPUR – Lima gadis warga Vietnam diselamatkan polis daripada sindiket pelacuran dengan pergerakan mangsa dikawal.

Kesemua mangsa diselamatkan menerusi Operasi Pintas yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan D7 Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Raden Bagus, di sini, malam semalam

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, dalam sebuan pada jam 10 malam itu polis menahan dua lelaki.

“Malah pemeriksaan lanjut polis juga berjaya menyelamatkan lima gadis warga Vietnam yang dipercayai mangsa pemerdagangan manusia iaitu eksploitasi seks secara paksaan.

“Kesemua mangsa adalah berusia 26 hingga 34 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, polis turut merampas sehelai tuala, sembilan telefon bimbit, dua walkie-talkie, tiga keping kad akses bilik, 24 kondom, sebuah buku catatan bayaran, menu makanan dan wang tunai sebanyak RM1,250.

Menurut Saiful Annuar, hasil siasatan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kedua-dua suspek itu direman hari ini untuk meneruskan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kesemua mangsa wanita Vietnam itu akan dipohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan seterusnya akan dihantar ke pusat perlindungan sementara,” katanya.

Jelas Saiful Annuar, siasatan awal mendapati kesemua mangsa telah bekerja di premis berkenaan selama sebulan dan pasport milik mereka disimpan oleh salah seorang suspek yang disyaki menguruskan kesemua mangsa.

Katanya, kesemua mangsa tidak dibenarkan bergerak bebas atau keluar dari bilik hotel dan mereka dipaksa membuat tawaran mengadakan hubungan seks dengan bayaran sebanyak RM250.

Menurut Saiful Annuar, orang ramai yang maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 jam JSJ KL di talian 03-21460670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999. – MalaysiaGazette