Ahli perniagaan, Chung Chee Yang yang menghadapi empat pertuduhan mencederakan dua pengawal peribadinya ditahan semula anggota polis akta AMLATFPUAA di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Selepas menjalani lima pertuduhan mencederakan, memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya di Mahkamah Majistret Klang dan diikat jamin RM50,000 semalam – suspek  turut didakwa di Mahkamah Majistret di sini pula hari ini.

Tertuduh, Chun Chee Yang, 43,  merupakan seorang ahli perniagaan di Klang didakwa atas empat pertuduhan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dan Ahmad Samsuri Zailani, 27 dalam kejadian pada 13 April lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam lif dan di lobi One KL Condominium di Jalan Pinang di sini pada jam lebih kurang 8.40 malam dan 8.43 malam di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Namun dia mengaku tidak bersalah dan mohon bicara terhadap kesemua empat pertuduhan itu yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.

Tertuduh yang berbaju kemeja biru dan berseluar putih hadir bersama polis pukul 9.40 pagi tadi ke mahkamah.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Ashikin Mokhtar dan tertuduh diwakili oleh peguambela, Abdul Hakeem Aiman.

Noor Ashikin kemudiannya mencadangkan wang jaminan RM20,000 untuk setiap pertuduhan yang dihadapi suspek dengan seorang penjamin.

“Yang Arif kes OKT mendapat perhatian umum baru-baru ini dan telah menyentuh beberapa isu sensitiviti berkaitan agama dan juga masyarakat secara keseluruhan dan melibatkan satu kesalahan serius yang mana melibatkan kesalahan antara majikan dan pekerja yang mana kedua-dua pekerjanya wajar dilindungi dan dilayan secara kemanusiaan.

“Mengambil kira kedua-dua mangsa yang telah lama berkhidmat dengan OKT antara tiga hingga tujuh tahun seharusnya tidak diperlakukan sedemikan dan oleh itu saya memohon satu jaminan tinggi diberikan kepada tertuduh dengan cadangan setiap pertuduhan RM20,000 dengan setiap penjamin,” katanya.

Bagaimanapun peguambela suspek, Abdul Hakeem pula berhujah wang jaminan hanya bersifat memastikan tertuduh hadir ke perbicaraan kes sehingga selesai dan mencadangkan wang jaminan berjumlah RM10,000 untuk setiap pertuduhan.

“Yang hakim, dia (tertuduh) seorang ahli perniagaan terkemuka dan pelabur hartanah di Klang selain dia juga terlibat dalam kerja kebajikan dan amal untuk beberapa sekolah dan kuil di Klang.

“Malahan kesihatan tertuduh juga perlu diambilkira iaitu tertuduh menghidap kanser usus, insomnia sejak 15 tahun, gastrik dan darah tinggi selain anak sulung yang mempunyai seorang isteri dan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 15 hingga 19 tahun menuntut Sekolah Antarabangsa Elc, Sungai Buloh.

“Malahan kedua-dua ibubanya yang berusia lingkungan 70-an juga mempunyai penyakit kanser usus.

“Saya (peguambela) setuju kes ini menarik perhatian umum tetapi dakwaan menyentuh sensitiviti masyarakat itu adalah mislead kerana ia berlaku di Klang bukannya di Kuala Lumpur dan tiada pertuduhan di sini (Seksyen 323) yang menyentuh sensitiviti masyarakat kerana hanya melibatkan dua mangsa dalam lif dan lobi dan mahkamah tidak harus mempertimbangkan apa yang berlaku di Klang,” katanya.

Bagaimanapun Nor Ashikin sekali lagi bangun mempertahankan cadangan jumlah wang jaminan itu kerana kes berkenaan mlitu dan menjelaskan sensitiviti masyarakat yang dinyatakan pada awal cadanganya menjadi titik permulaan

“Wang jaminan RM20,000 yang saya cadangkan untuk setiap pertuduhan adalah munasabah dan sesuai dengan pertuduhan yang dihadapi tertuduh,” katanya.

Setelah mendengar dan mempertimbangkan hujah kedua dua pihak, Mohamad Fared membenarkan tertuduh diikat jamin dengan wang RM10,000 untuk keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan 2 Jun ini sebagai terima serahan dokumen dan sebutan kes tersebut.

Semalam, Chee Yang telah didakwa atas lima pertuduhan menampar, memukul dan mengacu pistol ke arah dua pengawal peribadinya yang berpuasa di Mahkamah Majistret Klang.

Bagaimanapun ahli perniagaan itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ke atas kesemua pertuduhan yangb dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan Chee Yang pada 13 April lalu antara 1o.30 malam hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bukit Tinggi Klang didakwa menakutkan Mohd Azminizam Zulkepli,44 melalui ugutan kecederaan parah dengan mengacukan pistol ke arahnya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di bawsah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dia juga dituduh telah bersubahat dengan pembantu peribadinya Choon Hin Voon, 43, dengan mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ahmad Samsuri  dengan menggunakan senjata iaitu sebatang rotan.

Kes didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast