KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun mahu melihat wujudnya sebuah universiti khas untuk wanita di negara ini.

Katanya, wanita boleh diajar mengenai realiti kehidupan dan cara kepimpinan melalui pengkhususan tertentu di universiti tersebut.

“Saya sebenarnya nak cadang wujudkan universiti untuk wanita. Sebab kita nak jadi macam negara-negara maju seperti contoh di Korea dan banyak lagi yang melahirkan pemimpin wanita,” jelasnya.

Datuk Seri Rina berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Srikandi Muda Leadership Empowerment di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Selain itu, Rina juga berkata, kementeriannya juga akan mengadakan Konvensyen Wanita Muda untuk mendengar pandangan  berkaitan pelbagai isu dalam kehidupan selain untuk memahami wanita generasi hari ini.

Menurut beliau, golongan wanita muda diantara 18 hingga 35 tahun ini perlu di beri perhatian dan kekuatan kerana masih baharu dalam proses memulakan kehidupan.

Dalam pada itu, kementerian juga katanya akan memberi perhatian kepada isu-isu lain yang melibatkan wanita B40 di kawasan luar bandar dan wanita muda di bandar dalam mengharungi hidup pada zaman ini.- MalaysiaGazette