Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kanan) menurunkan tandatangan sebagai gimik mengadakan lawat ke Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) pada Majlis Penyampaian Amanat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan senarai 12 jenis barangan bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 akan ditambah secara berperingkat.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, senarai baharu itu akan diumumkan tidak lama lagi dan jumlah boleh mencecah 33 jenis barangan.

Jelas beliau, pengumuman 12 jenis barangan sebelum ini hanya sebagai permulaan sahaja.

“Jumlah senarai barangan di bawah SHMMP 2021 akan bertambah dan jumlahnya akan meningkat secara berperingkat.

“Kita baru umum 12 jenis barangan sahaja dan jumlahnya mungkin bertambah hingga 32 atau 33 barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Lawatan dan Amanat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke KPDNHEP di kementeriannya di sini hari ini.

Bermula 21 April lalu, KPDNHEP mengumumkan 12 jenis barangan bawah SHMMP 2021.

Senarai barang yang diumumkan dalam skim berkenaan termasuk ayam, telur ayam, daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.

Bagaimanapun ada pihak yang mempersoalkan pengumuman SHMMP itu yang melibatkan kawalan harga barangan terhadap 12 barangan.

Antaranya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berpendapat, jumlah kawalan harga barangan itu membimbangkan apatah lagi berlaku peningkatan harga barang menjelang Aidilfitri.

“Jadi bila berlaku kenaikan harga barangan asas, kehidupan begitu ramai rakyat Malaysia menjadi sangat sukar. Inisiatif pemantauan dan penguatkuasaan harga makanan juga nampaknya tidak cukup efektif untuk mengatasi isu pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga serta aktiviti monopoli.

“Yang lebih membimbangkan ialah kenapa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) yang baru diumumkan dan akan dikuat kuasakan bermula 21 April hanya melibatkan 12 barangan kritikal?

“Adakah wajar untuk membiarkan rakyat terus terhimpit sementara menunggu kerajaan menyenaraikan barangan lain dalam Skim tersebut. Kenapa perlu menunggu ketibaan hari perayaan untuk berbuat demikian?” soalnya menerusi kenyataan yang disiarkan di Twitternya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast