KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Pendidikan memberi cuti dua hari kepada sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 dianggap sebagai tempoh yang sangat singkat dan menimbulkan kebimbangan ibu bapa.
Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Dr. Asmah Razalli berkata, beliau sedih dan bimbang dengan kes Covid-19 semakin meningkat menjangkiti murid serta guru terutama di Selangor, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 19 sekolah ditutup.
“Bagaimanapun, tempoh dua hari penutupan sekolah yang dijangkiti untuk proses disinfeksi menambahkan lagi kebimbangan ibu bapa adakah bilangan hari penutupan itu wajar?
“Kita faham keresahan ibu bapa yang tertanya-tanya sama ada anak mereka akan selamat dari wabak Covid-19 ketika kes sedang meningkat.
“Parlimen sehingga sekarang tidak dibuka, tetapi murid yang kecil perlu kembali ke sekolah ketika kes meningkat selepas dua hari sekolah ditutup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada Rabu lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon dilaporkan berkata, sekolah yang disahkan mempunyai satu kes Covid-19 akan ditutup sekurang-kurangnya dua hari.
Memetik laporan Sin Chew Daily, beliau berkata, pelajar yang terjejas berikutan penutupan tersebut akan beralih ke pembelajaran dalam talian sehingga kelas fizikal disambung semula.
Keputusan yang berkuatkuasa bermula Rabu itu akan memberi kuasa kepada sekolah untuk mengeluarkan notis memaklumkan ibu bapa mengenai penutupan apabila terdapat kes positif Covid-19.
Jelas Dr. Asmah, ibu bapa kurang berkemampuan telah membeli pelbagai peralatan digital untuk kaedah PdPR sebelum ini, belum sempat habis membayar ansuran bulanan, tiba-tiba sekolah diumumkan dibuka semula.
Beliau meminta Kementerian Pendidikan berbincang dengan pakar perubatan infeksi Kementerian Kesihatan, persatuan guru-guru SeMalaysia serta ibu bapa seperti disaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dengan mengambil kira bilangan hari penutupan sekolah.
“Ini termasuk mengambil langkah yang sewajarnya agar keselamatan nyawa dan kemaslahatan murid terus terjaga.
“Suka atau tidak, kita perlu menyatakan betapa susahnya guru yang ingin sentiasa memastikan pematuhan langkah SOP Covid-19 dipantau ketika murid di sekolah.
“Paling membimbangkan, apabila waktu sekolah tamat, guru tiada kuasa mengawal sejumlah besar murid di luar pagar, bebas berkumpul tanpa SOP yang mungkin menjadi salah satu penyumbang mengapa kes boleh meningkat,” ujarnya.
Beliau berkata, amat membimbangkan ketika ini apabila Kementerian Kesihatan mengunjurkan kes baharu berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang hujung bulan depan sekiranya Rt meningkat kepada 1.2.
Kata Dr. Asmah, ibu bapa yang anak bersekolah asrama penuh juga berasa tertekan kerana anak mereka terpaksa dikuarantin untuk membendung penularan dan pasti tidak boleh pulang ke rumah jika asrama itu mempunyai kes positif.
Ibu bapa ini memerlukan jawapan dan langkah penyelesaian lebih realistik mengenai langkah pencegahan melibatkan pelajar di sekolah asrama terutama ketika Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelma.
“Sebagai pembuat dasar dan melaksanakan dasar pendidikan, Wirawati berharap sementara sekolah terlibat ditutup, kementerian boleh memberi penyelesaian pencegahan dan pengawalan yang lebih effektif dari dua hari dan menjamin nyawa murid, sekali gus melegakan keresahan ibu bapa.
“Kita pasti menyokong langkah kementerian jika ianya mengutamakan nyawa anak-anak dan dapat membendung penularan Covid-19 supaya tiada lagi langkah menyukarkan ibu bapa untuk membuat persediaan sepatutnya terutama ketika Ramadan,” katanya. – MalaysiaGazette