Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda

KUANTAN – Kerajaan Pahang membenarkan para peniaga bazar Aidilfitri beroperasi sehingga jam 2 pagi bermula hari ini berbanding pukul 12 tengah malam sebelum ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda.

Beliau berkata, keputusan tersebut selari dengan apa yang diumumkan oleh kerajaan Persekutuan pada Jumaat lalu.

Ujar Abd Rahim menerusi kenyataan media, tambahan masa dua jam membenarkan operasi bazar dilanjutkan sehingga 2 pagi kepada peniaga dan pengunjung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kerajaan Pahang mengambil pendekatan sama dengan Kerajaan Persekutuan, membenarkan bazar Aidilfitri beroperasi bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 pagi di seluruh negeri ini.

“Ini bertujuan bagi memastikan tiada kluster baharu wujud, setiap setiap pengunjung akan dibekalkan satu pas masuk,” jelas Abd Rahim.

Tambahnya, bilangan pengunjung berada dalam kawasan bazar yang dibenarkan bergantung kepada keluasan atau bilangan penjual di tapak bazar tersebut.

“Kalau pengunjung itu terdiri dalam satu kumpulan atau keluarga, setiap ahli keluarga termasuk kanak-kanak juga perlu diberi pas masuk.

“Bagaimanapun bagi pengunjung yang membawa kanak-kanak di bawah 12 tahun atau warga emas perlu bertanggungjawab sepenuhnya mengenai risiko keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Warga emas, kanak-kanak perlu elak ke bazar Ramadan

Masjid Sri Maulana tidak patuh SOP dikompaun RM10,000

Kuantan Larang Warga Emas, Kanak-Kanak Kunjungi Bazar Ramadan, Aidilfitri #MGFlash

Dalam pada itu, bagi mengelakkan kesesakan orang ramai, setiap lot peniaga hanya dibenarkan menerima satu pelanggan atau satu keluarga pada satu-satu masa.

“Bazar akan ditutup selama tiga hari bagi pembersihan sekiranya terdapat kes dari kalangan pengunjung, peniaga atau petugas positif Covid-19 bazar Aidilfitri”,” ujarnya. -MalaysiaGazette