Mohd Ridzuan (kiri) melihat harga telur ayam yang dijual di Pasar Raya Mydin, Bukit Jambul hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 14 notis amaran kepada peniaga daging tempatan yang dilaporkan menjual daging melebihi harga siling ditetapkan.

Rata-rata peniaga pasar itu diberikan notis ketika pihak KPDNHEP negeri melakukan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) bermula 21 April lalu.

Mohd Ridzuan.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghappar berkata, pemeriksaan dilakukan di lokasi tumpuan orang ramai bagi memastikan peniaga tidak mengaut keuntungan berlebihan ketika musim perayaan.

“Dalam tempoh empat hari SHMMP dilaksanakan sebanyak 14 notis amaran dikeluarkan ke atas peniaga daging tempatan di negeri ini yang dikesan tidak mematuhi skim harga yang ditetapkan.

“Kita telah beri amaran kepada peniaga agar menjual daging tempatan pada harga ditetapkan dan sekiranya  masih ada peniaga yang degil, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Mohd Ridzuan (kiri) ketika merasmikan SHMMP bersama Datuk Abdul Halim di Pasar Raya Mydin, Bukit Jambul hari ini.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan SHMMP bersama Exco Perdagangan, Industri & Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain di Pasar Raya Mydin di Bukit Jambul hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 10 barang diklasifkasikan di bawah SHMMP termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import, telur ayam gred A, B dan C, ikan kembung, ikan mabung dan ikan selayang berkuatkuasa selama 30 hari sehingga 20 Mei 2021.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, peniaga tidak mempunyai alasan untuk menaikkan harga barangan di bawah SHMMP memandangkan penentuan harga maksimum pengeluar, pemborong dan peruncit dilaksanakan mengikut  pasaran semasa.

Untuk rekod sebanyak 1,340 pemeriksaan telah dijalankan di bawah Ops Pantau bermula awal tahun hingga hari ini. – MalaysiaGazette