Kasma Daniel Kasmayudin

KUALA LUMPUR – Pelumba muda, Kasma Daniel Kasmayuddin berpeluang menimba pengalaman berharga dengan jentera Yamaha YZF-R1M sempena perlumbaan Malaysian Superbikes Championship (MSBK) Open Track Day yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.

Pelumba berusia 20 tahun itu yang kembali beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), selepas menghabiskan beberapa tahun menyertai Kejohanan Dunia Moto2, teruja untuk menguji jentera Yamaha dalam persekitaran yang kurang tertekan.

“Saya tidak pernah menunggang Yamaha YZF-R1M sebelum ini. Jadi saya sangat gembira pasukan kami, Hong Leong Yamaha Malaysia, membuat keputusan untuk menyertai sesi ini. Ia memberi saya peluang pertama untuk membiasakan dengan jentera ini dalam keadaan kurang tertekan,” katanya menerusi kenyataan.

Semasa sesi ujian, Kasma menunggang model 2019 yang digunakan oleh Broc Parkes pada musim 2019 dan sangat teruja dengan prestasi motosikal itu.

“Ia benar-benar mudah untuk ditunggang, sangat stabil dan pastinya kurang renyah berbanding jentera Moto2. Kami belum memulakan rentak perlumbaan lagi, tetapi setakat ini, saya gembira mendapat peluang untuk berlumba menggunakan motosikal ini dalam ARRC,” tambahnya.

Masa pusingan terbaik Kasma pada hari itu, dua minit dan 07.761 saat.

Lebih menarik, pelumba muda ASB1000 itu berjaya kekal seiring dengan pelumba senior Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Zaqhwan Zaidi. Pusingan terbaik Kasma hanya ketinggalan 0.041s daripada pusingan terpantas Zaqhwan pada 2:07.720s.

Dua pusingan pertama ARRC 2021 dijadualkan di SIC dari 4-6 dan 11-3 Jun, diikuti perlumbaan di Litar Antarabangsa Zhuhai, China (30 Julai-1 Ogos), Bend Motorsport Park, Australia (23-26 September) dan pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Chang, Thailand dari 19-21 November dan 26-28 November. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast