Kancil Legend yang dilihat di sekitar Kepong, Kuala Lumpur. Foto kredit: Twitter Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Perodua Kancil ‘lejen’ yang dikesan berada di atas jalan raya sekitar Kepong baru-baru ini sudah ditahan polis awal pagi tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, tular di aplikasi Tik Tok menunjukkan rakaman sebuah kereta Kancil berwarna kuning tanpa bumbung dipandu seorang lelaki.

“Bertindak atas video tular, anggota JSPT menahan kereta berkenaan di Bandar Metropolitan Kepong bersama seorang pemandu berusia 47 tahun yang beralamat di Bukit Koman, Raub, Pahang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu manakala kereta Kancil itu tidak mempunyai cukai jalan, tidak berbumbung serta tayar hadapan sebelah kanan pecah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Keadaan fizikal Kancil ‘lejen’ membimbangkan pengguna jalan raya.

Mengulas lanjut, Zulkefly berkata, pemandu terbabit turut menunjukkan sebuah lagi kereta Kancil berwarna hijau yang tidak memiliki nombor pendaftaran dan cermin pecah di bahagian pintu belakang sebelah kiri.

Jelas Zulkefly lagi, kedua-dua kereta itu tidak layak berada di atas jalan raya kerana membahayakan pengguna lain.

Katanya, kenderaan tersebut ditahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menerusi kemaskini di laman Facebook memaklumkan telah melaporkan perkara itu kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Menurut Lip Eng, keberadaan kereta Kancil itu di jalan raya sangat membahayakan memandangkan tayarnya yang pecah dan kepala pemandu terkeluar dari kenderaan. – Malaysia Gazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast