Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusuf Ali (kiri) menyerahkan bubur lambuk kepada salah seorang pengguna jalan raya di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sukarelawan Pertubuhan Amal Tiara Kasih (Patik) hari ini mengagihkan 300 pek bubur lambuk kepada pengguna jalanraya di Jambatan Putra, Tanjung Lumpur, Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, kolaborasi yang dijalin menunjukkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia sentiasa menyokong Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

“Sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bulan Mac tahun lalu, kita tidak menafikan penglibatan NGO dalam membantu dan menyokong barisan pasukan hadapan.

“Kalau kita ingat hari ini ke-405 kita dalam PKP dan tahun lepas kita tidak dibenarkan ke bazar Ramadan atau masjid, banyak kekangan namun NGO dan agensi tidak putus memberi sokongan kepada masyarakat.

“Dan bila hampir dua minggu kita berpuasa ini, kehadiran NGO memberi sumbangan kepada barisan hadapan seperti berbuka puasa dan barang keperluan sangat dihargai.

Ditanya sama ada anggota PDRM sudah bersedia dengan pemantauan SOP persiapan masyarakat menyambut Aidilfitri, Mohamad Noor berkata, pihaknya akan memantapkan pemantauan semua segi termasuk kepatuhan aktiviti masjid dan bazar Ramadan serta bazar Aidilfitri.

“PDRM sudah bersedia dan buat persiapan dalam konteks memantau SOP di seluruh daerah Kuantan dengan pelbagai agensi bagi memastikan ia dipatuhi dan mengekang penularan Covid-19

“Amaran sudah habis, sebarang pelanggaran akan terus diambil tindakan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Bazar Aidilfitri di Pahang boleh beroperasi sehingga 2 pagi

Pahang laksana 20 rakaat solat tarawih

Sukararelawan PATiK bersama pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan

Sementara itu, Pengerusi PATiK, Tengku Zaza Fakia Faranaz Tunku Ismail berkata, program melibatkan 30 sukarelawan itu melibatkan usahasama antara Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Majlis Belia Pahang, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Malaysia Agropreneur Cooperatives Berhad.

“Proses menyiapkan bubur lambuk bermula seawal pagi menyediakan bahan mentah disusuli proses gotong royong memasak, menyusun dan seterusnya proses agihan dibuat secara sistematik.

“Di samping bekalan kurma dan kuih raya, pihak PDRM juga membantu memberi nasihat kepada pengguna jalan raya.” kata Zaza.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuantan, ASP Suhaimi Mohamad, dan Presiden Majlis Belia Pahang, Wan Emril Wan Nizam Wan Embong. – MalaysiaGazette.