Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Tiga termasuk seorang kanak-kanak lelaki maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Kuala Nerang-Semeliang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Mulkiaman Manzar berkata, dalam kejadian pada 4.15 petang itu, mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu dan penumpang kereta jenis Proton Wira serta penunggang motosikal jenis Yamaha Y150 manakala pemboncengnya parah.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki berusia 37 tahun, yang turut dinaiki anak lelakinya berumur enam tahun, sedang dalam perjalanan dari arah Semeliang ke Kuala Nerang manakala motosikal yang ditunggang lelaki berusia 20 tahun bersama kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun datang dari arah bertentangan.

“Kereta yang dipandu lelaki itu dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak daripada melanggar seekor binatang yang tidak diketahui jenisnya yang melintas jalan raya itu secara tiba-tiba.

“Kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan menyebabkan motosikal yang datang dari arah hadapan melanggar bahagian tepi pintu hadapan kereta berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, pemandu kereta bersama anaknya serta penunggang motosikal maut di tempat kejadian dan mayat mereka telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

“Mangsa yang cedera parah berusia 11 tahun telah dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain pula berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 4.45 petang.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang yang disertai tujuh petugas tiba di lokasi lapan minit kemudian. Terdapat dua mangsa tersepit di dalam kereta berkenaan dan mereka telah berjaya dibawa keluar.

“Kesemua mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis dan operasi telah ditamatkan pada 5.59 petang,” katanya. – Bernama