Ismail Sabri Yaakob

LUMUT – Kementerian Pertahanan bercadang untuk menambah 13 lagi bot pemintas “Fast Interceptor Craft” (FIC) bernilai lebih RM120 juta bagi memperkasakan lagi pertahanan negara khususnya di bahagian perairan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menerima enam bot berkenaan yang kesemuanya bernilai RM80 juta pada 19 Mac lepas.

“Ini merupakan fasa pertama kita menerima FIC dan kita bercadang untuk tambah 13 lagi (FIC) dalam tempoh yang terdekat.

“Bot FIC ini akan membantu pasukan secara keseluruhan bukan sahaja Op Benteng tetapi juga tugas-tugas (keselamatan yang lain),” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan demonstrasi bot berkenaan di Jeti Peluru, Pangkalan TLDM Lumut hari ini.

FIC melalui Projek Peralihan Operasi Benteng (Op Benteng) yang dibina Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI) itu diletakkan dalam Skuadron Fast Combat Boat (FCB) berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim negara terutama kepada kapal TLDM dalam penugasan Op Benteng bagi meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan di perairan cetek dan berpulau.

Bot pemintas FIC yang dilengkapi dua buah jentera utama dengan sistem dorongan jet air itu mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 50 knot dan akan dikendalikan oleh lima kru serta mampu membawa sehingga lapan anggota Quick Reaction Force (QRF) pada satu-satu masa.

Mengulas mengenai bot pemintas itu, Ismail Sabri berkata, TLDM akan menggunakan enam bot berkenaan di seluruh perairan  negara termasuk Sabah.

“Kita akan gunakan segera dan kita lihat keupayaannya cukup membanggakan apabila syarikat GMI ini mampu menyiapkan bot ini dalam tempoh lima bulan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai status projek kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) yang mengalami kelewatan dalam pelaksanaannya, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan dibawa ke perhatian Kabinet tidak lama lagi,

“LCS itu sekarang itu dalam tindakan kita untuk membawanya ke dalam Mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan keputusan seterusnya apa yang patut dilakukan. Ada dua pilihan yang kita cadangkan iaitu Boustead teruskan projek ini, dengan beberapa hala tuju baharu yang dikemukakan.

“Jika Kabinet tidak bersetuju, kita mungkin akan batalkan dan lantik syarikat lain. Setakat ini, kita masih lagi dengan pilihan pertama iaitu Boustead teruskan projek ini.

“Saya tidak boleh dedahkan maklumat lanjut mengenai hala tuju itu kerana perlu dikemukakan terlebih dahulu kepada Kabinet pada minggu ini atau minggu depan. Pilihan itu dijangka akan menyelesaikan krisis tersebut termasuk kebajikan pekerja yang terlibat dengan projek berkenaan,” jelasnya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, kira-kira 200 vendor dan kontraktor telah gulung tikar berikutan kelewatan  projek berkenaan .

Dilapor pada Disember lepas, Kementerian Pertahanan telah menjalankan siasatan secara mendalam mengenai kegagalan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) membekalkan enam LCS bernilai RM9 billion kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mengikut perancangan asal, dua daripada enam LCS sepatutnya sudah diterima namun sehingga 31 Julai lepas (2020) belum ada satu kapal yang disiapkan.

Terdahulu, Ismail Sabri turut merasmikan kiosk mini pam minyak yang telah siap dibina tahun lalu selain meluangkan masa melawat dua anggota TLDM yang kurang upaya iaitu Bintara, Nor Zaharin Rosland, 39, yang diserang angin ahmar ketika sedang bertugas di Pejabat Alam Sekitar Kapal Diraja (KD) Malaya sehingga menyebabkan separa lumpuh di sebelah kanan badan sejak 2018.

Seorang lagi anggota, Bintara Asrul Nizam  Ahmad, 36, mengalami separa lumpuh pada tangan dan kaki sebelah kiri selepas mengalami pendarahan beku di dalam kepala selepas terhantuk di ruangan enjin kapal ketika membuat kerja-kerja senggaraan pada 2017. – Bernama