Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail menunjukkan dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) PTPTN-UTM yang telah ditandatangani dan disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

JOHOR BAHRU – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini telah memeterai kerjasama strategik melalui sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menambah baik perkhidmatan untuk
kebajikan pelajar.

Ia bertujuan untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam pembudayaan simpanan pendidikan dan pembangunan modal insan kepada warga UTM melalui pelbagai inisiatif seperti program pembangunan penjanaan Endowmen UTM, promosi produk tabungan dan manfaat melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Pada majlis MoU itu, PTPTN diwakili oleh Ketua Eksekutif, Ahmad Dasuki Abdul Majid manakala UTM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Melalui MoU itu, kedua-dua pihak akan beroleh manfaat melalui pembudayaan penabungan SSPN yang akan dapat disemai kepada seluruh warga UTM serta usaha sama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mencetus idea baharu bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan.

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki berharap MoU ini akan menjadi batu loncatan dan tanda permulaan kerjasama yang akan membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada seluruh generasi pada masa hadapan.

“UTM merupakan universiti awam yang pertama memeterai MoU seumpama ini dan skop kerjasama yang menyeluruh ini bakal memberi impak yang positif dan signifikan kepada semua warga UTM.

Tambah beliau, usahasama ini juga diharap mendapat sokongan Kementerian Pengajian Tinggi agar menggalakkan penglibatan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain untuk mencontohi UTM dalam hasrat menawarkan rangsangan strategik yang sama.

Sementara itu, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi mengalu-alukan cadangan kerjasama dengan pihak PTPTN yang menawarkan skim perlindungan takaful komprehensif dan memberi manfaat kepada pelajar dan warga Universiti.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada PTPTN yang telah menjadi agensi utama membiayai pengajian tinggi bagi pelajar UTM.

Sehingga Januari 2021, PTPTN telah membantu seramai 88,750 pelajar yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke UTM melalui pinjaman pendidikan yang diluluskan.

PTPTN kini membiayai seramai 5,874 pelajar UTM yang sedang aktif.

Tambah beliau, inisiatif untuk memberikan penghargaan dalam bentuk Insentif Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada staf UTM pada Anugerah Citra Karisma juga bakal membolehkan budaya menabung dapat dipupuk dalam kalangan staf UTM.

Pada majlis yang sama, seramai 16 pelajar cemerlang terpilih bagi sesi 2020/2021 turut menerima Biasiswa Endowmen UTM yang disampaikan oleh Noraini dengan disaksikan oleh wakil rasmi Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, Hermee Tahir.

Johor Port merupakan antara penyumbang Biasiswa Endowmen UTM. Mulai tahun 2022, Biasiswa Endowmen ini akan diberikan kepada pelajar UTM dalam bentuk akaun SSPN dan ini akan menggalakkan budaya menabung dalam kalangan pelajar.

Sehingga kini, biasiswa berprestij ini telah memberi manfaat kepada seramai 355 pelajar UTM sejak ia dilancarkan pada tahun 2011.

Dalam majlis yang sama, Noraini turut berkesempatan mengagihkan bubur lambuk tajaan PTPTN kepada 650 pelajar dan staf UTM.

Inisiatif ini adalah sebahagian Program Imarah Ramadan Bersama Pelajar IPT (IMRAN) yang dianjurkan PTPTN dengan kerjasama UTM dan Majlis Perwakilan Pelajar UTM.- MalaysiaGazette