KUALA LUMPUR – ‘Kongsi rezeki’ dipilih sebagai tema utama iklan raya Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tahun ini dengan mengetengahkan kucing sebagai ikon dalam video tersebut.
Kucing bernama Oyen merupakan watak utama dalam video Hari Raya Aidilfitri itu bagi menyampaikan mesej berkongsi rezeki untuk kesejahteraan bersama, khususnya dalam mendepani kehidupan mencabar kesan daripada penularan wabak Covid-19.
Video berdurasi selama tiga minit itu memaparkan penumpang dan pekerja Prasarana berkongsi rezeki bersama beberapa ekor kucing di stesen LRT.
Selain itu, video tersebut turut memperlihatkan kakitangan Prasarana berkongsi rezeki bersama peniaga serta barisan hadapan sepanjang penularan Covid-19.
Video raya yang dikongsi dengan wartawan dan jurugambar pada Majlis Iftar Bersama Media pada malam ini akan dimuat naik dalam semua platform laman sosial rasmi Prasarana bermula Jumaat ini.
Turut pada majlis ialah Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah. – MalaysiaGazette