Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat lawatan mengejut ke Bazar Aidilfitri Lorong TAR untuk memantau SOP yang ditetapkan oleh DBKL kepada orang awam yang datang membeli belah dikawasan tersebut bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Tar, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2021.

KUALA LUMPURR – Tindakan beberapa peniaga di Kelantan dikompaun RM50,000 kerana didakwa beroperasi melebihi masa ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin disebabkan pegawai penguatkuasa kurang teliti dengan garis panduan yang telah ditetapkan pihak kerajaan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu tersebut tidak sepatutnya berlaku dan pihak berkuasa seperti polis wajar mengunakan budi bicara sebelum memberikan hukuman.

“Kadang-kadang ada pihak berkuasa kurang teliti dari segi tindakan, walaupun mereka ada budi bicara, sebagai contoh berniaga depan rumah dikompaun RM50,000 memang tidak lojik, jadi orang marah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan, Berbuka Puasa dan Ramah Mesra bersama Persatuan-Persatuan Veteren Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Perwira di sini hari ini.

Sejak semalam kecoh apabila beberapa perniaga di Kelantan dikompuan RM50,000 kerana beroperasi lebih masa sepanjang pelaksanaan PKP di negeri itu termasuk membabitkan peniaga burger dan colek.

Ismail Sabri menambah, semua anggota polis tidak boleh dipersalahkan kerana mereka telah melaksanakan tugas dengan baik cuma terdapat segelintir pegawai penguatkuasa melakukan kesalahan serta lemah dalam menguatkuasa hukuman.

“Kita tidak boleh kata semua pegawai penguatkuasa salah. Kementerian Kesihatan (KKM) maklum peniaga boleh merayu, tapi ia tak sepatutnya berlaku, tidak sepatutnya sampai RM50,000.

“Secara keseluruhan kita dengar kes seperti ini baru berlaku, bermakna polis menjalan tindakan yang baik selama ini, kita tak boleh kata disebabkan satu dua kesalahan menyebabkan seluruh PDRM dianggap tidak mengunakan budi bicara yang baik,” katanya.

Ismail Sabri berkata, jumlah RM50,000 kompaun adalah maksimum dan ia sesuai digunakan untuk syarikat besar termasuk aktiviti kelab malam,

“Saya kata dulu tiap kali dalam sidang media, syarikat-syarikat yang menganjurkan contohnya kelab malam walaupun dalam kategori larangan beroperasi ia boleh dikenakan kompaun RM50,000 jika beroperasi, ini takkan jual burger kena RM50,000,” katanya. – MalaysiaGazette