MAQIS menahan 5,000 pokok tanaman dari Taiwan di Pelabuhan Barat, Klang kelmarin.

KUALA LUMPUR – Sebuah kontena yang membawa 5,000 pokok tanaman hiasan jenis podocarpus macrophyllus dari Taiwan berjaya ditahan di Pelabuhan Klang Barat di Klang kelmarin

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah bertindak selepas pokok-pokok tanaman itu dikesan ada serangga perosak.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, Zamri Hashim berkata, hasil pemeriksaan, kontena berkenaan yang membawa tanaman hiasan yang dianggarkan seberat 6,690 kilogram dengan anggaran bernilai RM18,350.

“Kontena berkenaan ditahan kira-kira 3.30 petang kelmarin, untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zamri, kes akan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengimport produk pertanian yang dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar.

Menurutnya, kesalahan berkenaan memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, denda maksimum RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“MAQIS menasihati supaya semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan supaya kawalan penyakit tumbuhan, ikan, haiwan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia,” tegas beliau.-MalaysiaGazette