Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pas merupakan sebuah parti yang unik berbanding parti-parti politik lain kerana sentiasa konsisten darpadai sudut dasar dan prinsip Islam.

Ketua Pemudanya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, apa yang berubah hanyalah daripada sudut kepimpinan dan cara berpolitik tetapi daripada aspek dasar tetap sama iaitu Islam.

“Bila kita mengambil dasar politik Islam, ianya adalah mengenai prinsip integriti. Islam ini bercerita tentang pertimbangan dosa dan pahala.

“Sebab itu Pas secara konsisten dilihat parti yang tidak dikaitkan dengan rasuah. Bila kita ada integriti, kita nak ambil duit sedikit pun walaupun 10 sen, RM1, kita tahu ALLAH ada,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, Pas turut mengambil tiga pendekatan mengenai dasar berkenaan termasuk prinsip yang bersifat fundamental.

“Kedua, pendekatannya bersifat fleksibel selagi perkara itu dibolehkan syarak. Tidaklah kita mengambil pendekatan Machiavelli, matlamat menghalalkan cara.

“Ketiga, ia berfikir ke hadapan. Sebab itu Pas ada blueprint (rangka tindakna) Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051,” ujarnya. – MalaysiaGazette