KUALA LUMPUR – Kes baharu COVID-19 melepasi angka 3,000 dengan 3,142 kes dan 15 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan kes kumulatif COVID-19 di negara ini mencecah 401,593 setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua yang meninggal dunia merupakan warga tempatan menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat wabak itu kini 1,477.
Menerusi kenyataannya hari ini, beliau memaklumkan Selangor masih menjadi negeri mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 1,019 kes, diikuti Kelantan (523) dan Kuala Lumpur (440).
Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam lepas juga, 1,822 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 373,397, manakala kes aktif kini 26,719.
Selain itu, beliau berkata sejumlah 306 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 151 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.
Dalam pada itu, beliau berkata 12 kluster baharu dilaporkan melibatkan empat kluster sektor pendidikan, empat kluster komuniti, dua kluster tempat kerja, dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, iaitu Kluster Jalan Sekinchan dan satu kluster keagamaan, Kluster Leboh Gambus di Selangor .
Kluster sektor pendidikan terdiri daripada Kluster Melugu di Sarawak, Madai (Sabah), Layar Hujung (Kedah) dan Jalan Gombak Dua (Selangor), manakala kluster komuniti pula Ulu Strass di Sarawak, Jalan Maharajalela (Perak), Taman Wira (Johor) dan Pintu Air Relau (Kedah).
Sementara itu, kluster tempat kerja dikenal pasti ialah Kluster Jalan Rimbunan di Kuala Lumpur dan Kluster Jalan Bakariah di Johor.
Dr Noor Hisham menyatakan pertambahan kluster itu menjadikan kluster aktif kini 370 manakala sembilan kluster dilaporkan tamat hari ini.- BERNAMA