Ministry of Education MOE Datuk Dr Radzi Jidin Minister of Education Schools closure Covid-19 PdPR home-based teaching and learning Aidilfitri holidays
Dr Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menutup 10 hari sekolah selepas perayaan Aidilfitri bertujuan untuk melindungi kawasan sekolah daripada dijangkiti penularan Covid-19.

Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin yang menjelaskan keputusan diambil KPM baru-baru ini berkata, dalam tempoh setahun yang lalu kementerian berkenaan melalui banyak pengalaman yang dilalui dalam menangani pandemik Covid-19 dalam sektor pendidikan.

Namun, belum pernah KPM melalui tempoh pembukaan sejurus selepas sambutan Aidilfitri kerana sewaktu perayaan Aidilfitri tahun lalu, sekolah masih ditutup kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Radzi, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 25 April 2021, sebanyak 60.8% kes Covid-19 bagi tahun 2021 adalah kes sporadik (kes seseorang individu itu tidak mempunyai sejarah perjalanan dan tidak ada berhubung dengan kontak rapat Covid-19, tetapi dia telah disahkan positif) manakala 39.2% lagi adalah kes kluster.

Katanya, daripada 39.2% ini, 2.07% adalah kes dalam kluster yang berkaitan dengan institusi di bawah KPM.

Bagi kes berkaitan institusi KPM, kes yang melibatkan asrama adalah sebanyak 1.42% daripada keseluruhan kes kluster manakala kes bukan asrama adalah 0.53%.

”Melihat kepada data dan mengambil kira bahawa KPM belum pernah ada pengalaman membuka sekolah selepas perayaan Aidilfitri, kami berbincang dengan terperinci tentang kebaikan dan keburukan membenarkan murid kembali ke sekolah untuk tempoh 10 hari selepas cuti hari raya dan sebelum cuti penggal bermula.

”Menyedari bahawa banyak kes sporadik dalam komuniti dan juga kes kluster melibatkan program keramaian, warga sekolah seperti mana rakyat Malaysia yang lain terdedah kepada jangkitan di luar sekolah.

”Sekiranya ini berlaku, kemungkinan jangkitan yang berlaku di luar kawasan sekolah dibawa masuk ke dalam kawasan sekolah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Penjelasan itu susulan pengumuman sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dua minggu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri sehingga cuti penggal bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Sesi PdPR akan bermula 16 Mei bagi sekolah dalam kumpulan A (Kelantan Johor Kedah dan Terengganu) manakala sekolah dalam kumpulan B (Perlis, Perak, Pahang, Sabah, Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Putrajaya) akan bermula sehari selepas itu, pada 17 Mei.

Bagi sekolah dalam kumpulan A sesi tersebut akan akan berakhir pada 27 Mei manakala sekolah dalam kumpulan B pula berakhir sehari kemudian.

Radzi menambah, walaupun prosedur operasi standard (SOP) di sekolah dilaksanakan dengan ketat, namun setiap jangkitan yang berlaku kepada guru, murid atau kakitangan di luar sekolah mungkin akan dilihat seolah-olah berpunca daripada sekolah.

Selain itu, sekiranya banyak jangkitan di luar sekolah berlaku dan sekolah perlu ditutup sekurang-kurangnya dua hari jika ada kes positif, maka ianya akan membentuk persepsi seolah-olah banyak jangkitan yang berlaku di dalam sekolah.

”Ini akan memberi kesan kepada keyakinan ibu bapa terhadap SOP di sekolah.

”Selain daripada itu, ada kemungkinan juga murid asrama yang mendapat jangkitan sewaktu musim perayaan kembali ke asrama untuk tempoh 10 hari persekolahan dan menjangkiti murid lain di asrama.

”Mungkin ada yang kata, ”Habis tu, KPM awalkan sajalah cuti penggal”,” ujar beliau lagi.

Meskipun begitu, beliau menegaskan KPM sebaik-baiknya mengelakkan melakukan perubahan takwim selagi keadaan mengizinkan

Ini kerana, dengan sejumlah hampir 5 juta orang murid dan hampir 500,000 guru, sebarang perubahan takwim akan memberi kesan secara langsung mahupun tidak langsung kepada keluarga murid dan guru.

”Saya amat berharap penjelasan ini dapat memberi gambaran yang lebih luas tentang antara asas pertimbangan yang diambil kira oleh KPM dalam membuat keputusan untuk melaksanakan PdPR bagi 10 hari persekolahan selepas sambutan Aidilfitri dan sebelum cuti penggal nanti.

”Tentunya setiap keputusan itu tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak. Kami juga menginsafi bahawa kami tidak sempurna. We’re not perfect. ‘Namun, KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” kata Radzi. – MalaysiaGazette

Sesi PdPR selama 2 minggu selepas cuti Hari Raya Aidilfitri – Radzi