Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa wajar menyeragamkan segala pelaksanaan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan kompaun dalam membendung penularan Covid-19 di semua peringkat.

Ahli Negara Negara, Senator Idris Ahmad berkata, ia bagi memastikan bukan sahaja adil kepada semua, bahkan dilihat adil dari segi pelaksanaannya.

“Sejak akhir-akhir ini, timbul pelbagai komen dan kritikan berkaitan pelaksanaan SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tindakan kompaun kepada mereka yang tidak mematuhi SOP wajar dikeluarkan agar menjadi pengajaran kepada semua pihak

“Namun biarlah dengan budi bicara melainkan bagi pesalah yang degil dan masih melakukan kesalahan sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Isnin lalu, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu mengesahkan pihaknya mengeluarkan kompaun RM50,000 kepada peniaga burger yang membuka gerai di hadapan rumahnya di Jalan Panji, Kota Bharu kerana didapati melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di Kelantan ketika ini.

Polis bertindak selepas menerima aduan penduduk kampung bahawa peniaga itu sering berniaga melebihi masa dibenarkan iaitu pukul 10 malam ke atas dengan ramai pelanggan didapati duduk dan makan di situ.

Dalam pada itu, Idris yang juga Naib Presiden Pas berkata, pihak berkuasa perlu menjadikan tempat kunjungan orang ramai seperti pusat hiburan, kilang, bazar dan pasar malam sebagai tumpuan kerana kawasan itu mudah berlakunya penularan virus Covid-19.

“Dalam fasa memerangi wabak ini, kepercayaan rakyat kepada pemerintah wajar dijaga agar segala polisi dan tindakan dalam menstabilkan kembali ekonomi dan kesihatan rakyat mendapat kerjasama baik daripada rakyat.

“Selain itu, segala pakej dan bantuan kepada rakyat dibimbangi akan tenggelam dek kerana tindakan pihak penguatkuasa yang menimbulkan kemarahan rakyat ini.

“Undang-undang yang digariskan adalah untuk melicinkan segala perancangan yang dibuat, namun ia masih tertakluk kepada sifat manusiawi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast