Mohd Ajib Ismail

PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memperuntukan RM9.23 juta bagi melaksanakan program pengimarahan masjid-masjid dan surau sempena bulan Ramadan di Wilayah Persekutuan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, peruntukan itu merangkumi 89 masjid, 123 surau solat jumaat dan 578 surau.

Menurutnya, walaupun berdepan dengan pandemik Covid -19 ketika ini, ia bukanlah penghalang buat umat Islam dan masyarakat setempat mendapat manfaat sempena kedatangan bulan Ramadan.

“Bagi setiap masjid Jawi diperuntukkan RM15,000, surau solat jumaat (RM12,500) dan surau pula sebanyak RM11,000.

“Peruntukan ini merupakan satu insentif agar masjid-masjid dan surau dapat mengimarahkan bulan Ramadan. Walaupun berdepan pandemik Covid-19 ia bukanlah penghalang untuk mengimarahkan masjid dan surau-surau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kembara Al-Amin Nuzul Al-Quran bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Surau Putra Al-Amin, Presint 8, Putrajaya di sini, hari ini.

Terdahulu, Zulkifli menyertai program berkenaan yang bermula seawal pukul 4 pagi dengan menyantuni serta menyerahkan juadah sahur kepada petugas barisan hadapan di Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara dan anggota polis di sekatan jalan raya.

Program diakhiri dengan ceramah forum perdana sempena Nuzul Al-Quran di Surau Putra Al-Amin dan penyerahan sumbangan Ihya Ramadan kepada masjid dan surau-surau di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Mengulas lanjut Mohd Ajib berkata, peruntukan berkenaan juga boleh digunakan bagi program kecil sepanjang tahun dan tidak tertakluk dalam Ramadan sahaja.

“Bagi Putrajaya sahaja, RM1.3 juta diperuntukan kepada masjid dan surau bagi program-program mengimarahkan bulan Ramadan pada tahun ini.

“Peruntukan ini membabitkan satu masjid, 20 surau jumaat dan 92 surau di bawah kendalian JAWI,” tambah beliau. – MalaysiaGazette